Tuesday, October 12, 2010

Sentuhan Home Decor Di Khadijah’s Kitchen

Datuk Khadijah Ibrahim telah membuka Khadijah's Kitchen sejak lebih dua tahun lalu.

SEKALI kaki melangkah masuk ke restoran Khadijah’s Kitchen milik penyanyi tersohor, Datuk Khadijah Ibrahim, mata terpesona dengan keindahan segenap ruang bagaikan seperti berada dalam sebuah rumah.

Bermula dari perabot sehingga perhiasan, semuanya mendapat sentuhan dan idea daripada wanita yang mesra disapa Khaty ini.

Salah satu sudut di Khadijah's Kitchen mencetuskan konsep seperti di dalam rumah.

Dengan pengetahuan tentang hiasan dalaman yang ditimbanya sebelum ini, Khaty cuba merealisasikan impiannya. Dia sendiri memilih konsep home decor untuk menghias restoran yang terletak di No.21, 11/2 Jalan Bukit. Seksyen 11, Petaling Jaya, Selangor itu.

Ternyata beliau memilih konsep sedemikian untuk membuatkan pelanggan berasa selesa seperti berada di rumah tatkala menjamu selera.

Antara perhiasan yang menonjolkan budaya perkahwinan Melayu yang dihiasi dalam Khadijah's Kitchen.

Ditambah pula dengan warna yang menenangkan seperti hijau dan kuning. Bukan itu saja, beliau juga memadankan warna merah ala Inggeris pada bahagian tertentu restorannya bagi menimbulkan suasana seperti berada di desa.

Bina dan hias sendiri

Jangan ada yang terkejut penyanyi ini yang popular dengan lagu Kurnia Baiduri ini memilih sendiri jubin lantai dan membinanya sendiri untuk memastikan restoran ini lebih menarik mengikut kemahuannya.

Bunga Baby Branch merupakan salah satu jenis bunga yang menghiasi Khadijah's Kitchen.

“Apa yang istimewa tentang dekor restoran ini, semua yang awak lihat dibuat oleh saya. Sayalah kontraktor dan saya sendiri yang menghiasnya.

“Kebanyakan perabot dan hiasan saya bawa dari rumah. Perabot dibeli di Lombok, Indonesia, pasu bunga di New Zealand, bingkai gambar dihadiahkan oleh peminat semasa konsert di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC.

Perhiasan yang unik ini merupakan antara perhiasan yang dibeli oleh Datuk Khadijah Ibrahim ketika berkunjung ke mana-mana Sunday Market di luar negara seperti New York dan New Zealand.

“Kebanyakan perhiasan diborong ketika pergi ke Sunday Market di luar negara termasuk New York dan New Zealand. Peluang membeli pemegang lilin yang menjadi kesukaan saya pasti tidak akan dilepaskan,” katanya kepada Mingguan mStar.

Memilih stail padan dan suai, Khaty selesa berbelanja mengikut kemampuan.

Kebanyakan perhiasan yang dihias dalam Khadijah's Kitchen dibawa dari rumah Datuk Khadijah Ibrahim sendiri.

Dia akui bukan seorang yang moden dan bercita rasa tinggi. Tapi sebolehnya dia mahukan atmosfera yang memberikan ruang untuk relaks.

“Saya ambil contoh hotel yang dihias berkonsepkan dalam rumah untuk memberikan ketenangan. Jadi, restoran ini mesti ada bunga segar untuk menimbulkan rasa segar.

“Saya akan menempah bunga teluki atau dalam saintifiknya dipanggil carnation dan bunga-bunga segar lain sebanyak tiga dozen setiap tiga minggu. Bunga-bunga itu dibeli di Cameron Highlands, Pahang. Selain itu, saya suka bunga baby branch yang tahan lama. Anggaran untuk kos membeli bunga sahaja dalam RM200 sehari,” ujarnya.

Datuk Khadijah Ibrahim menggantung bingkai gambarnya dan artis-artis lain yang dihadiahkan oleh peminatnya yang menghadiri konsertnya di Dewan Philharmonik Petronas, KLCC,Kuala Lumpur.

Sedang rancak berbual, mata terpandang dua cucunya iaitu Zidan, 3, dan Khaira, 5, tolong menyusun sudu dan garpu di meja makan.

Sambil tersenyum, Khaty berkata dua cucunya itu memang ringan tulang dan sudah biasa membuat kerja itu tanpa disuruh. Mereka sudah menganggap restoran itu seperti rumah sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: