Sunday, October 17, 2010

Anne, Darling kongsi debaran

Jika si kakak sedang meniti saat bahagia menghitung beberapa bulan yang tinggal, si adik pula berdebar menghitung hari yang tinggal. Begitulah situasi yang dialami Darling Ngasri dan Anne Ngasri kini yang sama-sama sedang berbadan dua.

Anne yang kini sedang sarat mengandung hanya menanti hari untuk melahirkan anak ketiga yang dijangka perempuan. Manakala Darling pula yang baru selesai kes di mahkamah disahkan telah mengandung dua bulan.

Anne dan Darling yang ditemui baru-baru ini semasa majlis kenduri doa selamat, rumah terbuka dan sambutan hari jadi adik bongsu, Baby di rumah ibu bapa mereka. Mereka juga mengakui saling bertukar cerita dan petua apatah lagi Anne sudah tiga kali melalui proses kehamilan manakala Darling yang pertama.

Menurut Anne, Darling banyak bertanya mengenai proses kehamilan kepadanya. Walau bagaimanapun Anne mengakui menghalang Darling menemani semasa proses bersalin nanti.

“Darling beria-ia mahu menemani saya semasa bersalin, tetapi bagi saya jika orang itu sedang melalui proses kehamilan pertama kali, seeloknya dia tidak perlu melihat proses kelahiran, bimbang nanti menakutkan dia.

“Jadi saya cadangkan Darling melihat saya selepas bersalin saja nanti. Mungkin ibu saya (Habibah Jafar) yang akan menemani saya,” ujar Anne membuka bicara tentang dirinya dan Darling yang kini berbadan dua kepada Sinar Harian.

Menurut ibu kepada Abdul Warits, 4 tahun dan Abdul Wafri, 2 tahun ini, dia sudah mula berehat dalam sebarang aktiviti lakonan sejak tiga bulan yang lalu. Malah dia dijangka akan bersalin dalam tempoh seminggu saja lagi.

“Anne teruja menanti kelahiran anak ketiga ini apatah lagi dua doktor mengesahkan anak dalam kandungan Anne ini perempuan. Anne sendiri memang berharap mendapat anak perempuan memandangkan Anne sudah ada dua hero.

“Memandangkan dua anak Anne sebelum ini lelaki jadi persiapan untuk anak ketiga lebih sikit kerana membeli barang baru. Anne akan bersalin di hospital Tawakal dan akan berpantang di rumah sendiri,” ujarnya yang akan kembali aktif selepas tempoh bersalin nanti.

Umum mengetahui Anne kini sah bercerai Jun lalu ketika usia kehamilannya mencecah dua bulan. Namun Anne kelihatan tabah walaupun akan melahirkan anak tanpa suami di sisi.

“Bohonglah kalau Anne kata tidak sedih tapi benda sudah lepas untuk apa dikenang lagi. Anne juga sudah bersedia dari segi mental, mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar dan tenang semasa Anne bersalin nanti.

“Wafi juga tidak pernah mengabaikan nafkahnya terhadap anak dan kami juga ada beberapa kali keluar bersama dan selalu berbincang untuk membeli keperluan anak. Anne harap situasi ini akan berkekalan sampai bila-bila,” katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: