Monday, October 4, 2010

AMP lebarkan sayap, pengaruh



Airtime Management and Programming (AMP) mengumumkan bahawa bermula 25 Oktober ini, pendengar-pendengar setia Era, MyFM dan Hitz.fm yang berada di Kuching, Sarawak akan dapat mendengar siaran terus ke Sarawak.

Manakala bermula 1 Disember 2010 pula, pendengar-pendengar di Kota Kinabalu, Sabah akan turut mendapat keistimewaan sama.

Pengarah Eksekutif AMP, Datuk Borhanudin Osman berkata, perkembangan itu selaras dengan usaha AMP untuk menawarkan kandungan yang bersifat lebih tempatan ke seluruh negara dalam memperkukuhkan takhta sebagai rangkaian radio pilihan No.1 rakyat Malaysia.

“Ini salah satu cara untuk kami memperbaiki kualiti audio dengan menarik taraf pemancar yang sedia ada di kawasan sekitar selain mendekatkan hubungan peminat dan pendengar Malaysia Timur.

“Apa yang istimewanya, radio-radio ini akan diterajui oleh penyampai-penyampai yang berasal dari Malaysia Timur sendiri dengan tema dan cita rasa pendengar tempatan selain,” katanya pada majlis memperkenalkan penyampai-penyampai radio baru berasal dari Sarawak.

Enam penyampai baru di pilih untuk mewakili radio masing-masing. Mereka yang terpilih adalah Osha dan Hasmin untuk radio Era, Amelyn dan Ai Sing untuk radio MyFM serta Vix dan Herman untuk Hitz.fm.

Pada peringkat permulaan ketiga-tiga saluran radio ini akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 1 petang dan akan membawa kandungan lokal kepada warga Sabah dan Sarawak. Kemudian selama tiga jam, program yang diterajui penyampai-penyampai anak watan Kuching dan Kota Kinabalu akan bersiaran secara langsung dari studio masing-masing.

Selepas itu, bagi 21 jam yang selebihnya (1 petang hingga 10 pagi), pendengar Malaysia Timur akan disajikan dengan informasi setempat seperti berita, acara, perkembangan trafik, lintasan krew dan iklan tempatan.

Sementara itu, penyampai radio Era Kuching, Osha atau Syakirah Basri, 28, yang ditemui selepas sidang media itu tersebut berkata, diberi kepercayaan penyampai radio Era ibarat mimpi menjadi kenyataan dan pastinya akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Saya memang tak sangka kini sudah menjadi penyampai kepada radio yang mempunyai nama yang sangat besar di Malaysia ini. Saya rasa macam mimpi pula, kerana saya pernah menyimpan hasrat untuk menjadi penyampai radio Era sebelum ini, namun baru kini ianya menjadi kenyataan.

“Walau bagaimanapun saya selalu ingatkan diri saya memikul tanggungjawab sebagai penyampai radio Era memang satu komitmen sangat besar dan saya akan berusaha untuk menjadi penyampai radio yang boleh memuaskan semua pendengar di Sarawak,” katanya yang sebelum ini pernah menjadi penyampai untuk radio Cats.FM.

Namun berbeza pula dengan seorang lagi penyampai baru radio Era, Hasmin Mohd Nur, 22, yang turut berasa syukur apabila dipilih menjadi penyampai radio Era kerana dia mengakui dia sendiri masih mentah dalam bidang penyiaran dan tidak pernah mempunyai apa-apa pengalaman sebelum ini.

“Saya rasa bertuah sangat apabila dipilih sebagai penyampai radio Era, walaupun saya tidak berpengalaman menjadi penyampai radio sebelum ini, namun dengan bakat yang saya ada seperti berpidato dan syarahan semasa di sekolah dahulu telah memberi keyakinan kepada saya untuk menjadi penyampai radio yang baik,” katanya yang melalui perjalanan 14 jam dari Miri untuk menjalani temu duga di Kuching.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: