Tuesday, October 5, 2010

Amitabh pernah miskin teruk


AMITABH bersama isteri, Jaya dan anaknya, Abhishek.


PELAKON veteran tersohor Bollywood, Amitabh Bachchan tidak malu mengaku bahawa 10 tahun lalu, dia pernah terjerumus dalam kancah kemiskinan apabila tidak mempunyai wang gara-gara tidak terbabit dalam sebarang aktiviti seni.

Namun peluang muncul menerusi program realiti Kaun Banega Crorepati (KBC) membuatkan dia mampu keluar sedikit demi sedikit daripada kepompong kemiskinan.

Rahsia itu didedahkan Amitabh melalui pengakuannya di dalam blog peribadinya, bigb. bigadda. com, baru-baru ini.

Aktor berusia 67 tahun itu berbuat demikian selepas menandatangani kontrak sebagai hos untuk musim keempat program tersebut.

"10 tahun lalu, sewaktu semua orang sedang bergembira menyambut kedatangan tahun milenium, saya sedang meraikan masalah hidup dan kewangan yang paling teruk.

"Saya tak ada filem atau produk baru sebagai kerja. Tak ada wang dan bank pula menghantar surat untuk melelong kediaman saya.

"Namun segalanya berubah selepas saya bersetuju untuk menjadi hos Kaun Banega Crorepati.

"Walaupun ditentang banyak orang kerana kurang yakin program realiti itu mampu menjadi hebat," tulis Amitabh yang bersyukur kerana membuat keputusan yang betul.

Tambah Amitabh, ekonomi keluarganya mula stabil secara perlahan-lahan selepas program realiti itu menerima sambutan baik.

Sementelah untuk jangka masa dua tahun, dia mempunyai kewangan yang terjamin hasil kontrak bersama program itu.

Justeru, apabila KBC kini memasuki musim keempat, dia tidak teragak-agak untuk kembali mengemudi program tersebut sebagai membalas jasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: