Tuesday, October 5, 2010

Bajet kecil, jiwa besar


WATAK kanak-kanak turut menguatkan jalan cerita Crayon.


SEINDAH judul diangkat, Crayon yang merupakan filem berbalut drama dan thriller digarap dengan mesej tersendiri. Melampias pengertian harapan dalam beragam skop, ia terang-terangan memperlihatkan keprihatinan makhluk di muka bumi ini sesama insan lain terutama bernasib malang.

Crayon yang ditunjangi oleh Hon Kahoe, Ariff Faisal Abdullah, Adibah Noor, Joshry Adamme, cukup dekat di hati sang pengarah dan penulis skrip - Dean A. Burhanuddin. Pemergian kepala keluarga, Burhanuddin Ahmad Tajudddin akibat penyakit jantung setahun lalu meninggalkan impak terbesar dalam hidupnya.

Anak muda yang turut bertindak sebagai penerbit bersama Linda Ziegler dan Elise A. Hamid itu memberitahu, bapanya menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 78 tahun akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Biarpun setahun berlalu, Dean tetap merasai kehilangannya.

“Selepas peristiwa memilukan ini, saya seperti hilang harapan untuk meneruskan hidup. Bahkan saya sampai terfikir, buat apa hidup jika semata-mata untuk mencari kemewahan. Jadi, saya menulis skrip Crayon sekitar September 2009 bertujuan untuk menyuluh harapan kepada mereka yang pernah merasai kehilangan agar pantas bangkit.

“Saya juga harap filem ini bakal membuka mata masyarakat untuk lebih prihatin terhadap anak-anak yatim yang ada sebilangannya hidup tersisih. Bayangkan, bantuan diberi kepada mereka hanya setahun sekali terutama pada musim perayaan.

“Kalau boleh, saya mahu umum sedar tentang situasi menyedihkan ini. Anak-anak yatim juga berhak menjalani kehidupan macam orang lain yang punya ibu bapa,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Crayon di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengarah naskhah Crayon yang dipayungi rumah produksi ZiOSS Films Sdn. Bhd. itu bukan semudah dilihat atau didengar. Kekurangan pengetahuan dan pengalaman mengenai lapangan seni di Malaysia, membuat dirinya sedikit sukar untuk menzahirkan idea berkarya.

“Selain itu, saya harus bekerja dalam keadaan bajet kecil dan tempoh masa terhad. Lantaran itu, semua perkara harus dilakukan dengan betul. Mujur dengan bajet di antara RM500,000 hingga RM700,000 Crayon berjaya disiapkan dalam masa 25 hari," jelas Dean yang pernah menulis skrip untuk filem Amok dan The Lonely di Amerika Syarikat.

Puas sudah membanting tulang menyelesaikan Crayon dengan durasi 83 minit, tiada lain dimahukan Dean selain inginkan keprihatinan daripada masyarakat agar dapat menghulurkan bantuan kepada insan di sekeliling mereka terutama kurang bernasib baik.

“Crayon akan dihasilkan dalam bentuk trilogi. Jika filem pertama berkisar kehidupan anak-anak yatim, karya seterusnya saya hendak mengangkat kisah golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pekak dan bisu.


SATU babak dalam filem Crayon yang menggandingkan Adibah dan Joey.


“Filem ketiga pula, saya merancang untuk menyingkap kehidupan orang-orang tua yang disingkir oleh keluarga sendiri,” jelasnya yang lebih senang membikin naskhah kemasyarakatan berbanding berlumba mewarnakan karya berjalur komersial.

Pengalaman berharga Kahoe

Dalam pada itu, Kahoe yang bercerita mengenai watak dibintanginya sebagai Adam, dia merupakan seorang pelajar kolej berasal dari Kuala Lumpur dan melanjutkan pengajian di Singapura.

“Adam seorang yang baik dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada orang lain. Tidak sukar melakonkan watak ini. Cuma, kesusahannya apabila saya menjadi pelakon utama. Pasti penonton akan menilai lakonan saya. Jika dalam Talentime, saya hanya bawa watak sokongan lantas ia tidak terlalu memberi tekanan.

“Dalam Crayon, tanggungjawab saya sangat berat kerana perlu menyampaikan mesej kepada penonton. Apapun saya telah memberikan lakonan terbaik dan berharap audiens berpuas hati kelak,” katanya yang turut melibatkan diri dalam iklan komersial selain berlakon.

Tidak membuang waktu panjang, Kahoe meluah keterujaan berlakon di bawah arahan Dean. Jelasnya, individu tersebut sarat kualiti bijak dan kreatif. Malah, tanpa berselindung, dia ingin bekerjasama lagi dengan Dean jika diberi kesempatan.

“Dean tahu apa yang hendak dilakukannya. Paling bagus sebab dia beri sepenuh kebebasan kepada setiap pelakon untuk menjayakan watak masing-masing dengan stail tersendiri. Namun, dalam waktu sama, dia tetap membimbing kami,” ulasnya sambil tersenyum.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang Crayon bakal mewarnai panggung di seluruh negara pada 11 November ini, jangan lupa melayari laman sesawang www.crayonthemovie.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: