Monday, October 11, 2010

14 bekas kadet pelatih KTU buli junior didenda



JITRA - 14 bekas kadet pelatih Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (KTU) Kepala Batas, dekat sini, didenda antara RM1,000 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mereka mengaku salah mencederakan seorang pelatih junior lebih tiga tahun lalu.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau dua bulan penjara terhadap dua tertuduh utama iaitu Muhamad Yusof, 25, dan Mohd Sufian Mamat, 24.

Ahzal Fariz juga menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara terhadap 12 lagi tertuduh iaitu Azharul Abdullah, Phana a/l Achuan, Wan Aiman Wan Bahruddin, Mohd Hishamudin Mohamed Suhaimee dan Umar Anas Abd Halim.

Tertuduh lain ialah Mohd Izwan Zulkapli, Mohd Ezuan Ahmad Moxni, Mohd Rizuan Jamaludin, Mohamad Zhafri Hanafi, Mohd Fauzi Ishak, Ahmad Hafiz Sulaiman dan Abdullah Arobi Mohd Rosli.

Bagaimanapun, semua tertuduh membayar denda berkenaan.

Semua tertuduh terbabit yang kini berusia 22 hingga 25 tahun masing-masing menghadapi tuduhan berasingan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan pelatih Diploma Kejuruteraan Aeronautik KTU, Muhammad Hazim Ahmad Azman di Belakang Blok Kenyalang, Wisma Pegawai Kadet, Kem Tanah Merah pada 27 Januari 2007 antara jam 9 dan 11 pagi.

Dua daripada mereka iaitu Muhamad dan Mohd Sufian turut menghadapi tuduhan tambahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Hazim menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Muhamad dituduh mencederakan Muhammad Hazim dengan mencurahkan air panas ke atas mangsa pada 27 Januari lalu di Wisma Kadet, Kem Tanah Merah antara jam 9 hingga 11 pagi.:

Mohd Sufian pula didakwa menyebabkan kecederaan mangsa sama dengan memaksanya berdiri di atas kayu berpaku pada tarikh dan masa sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Idris, manakala semua tertuduh diwakili M Athimulan.

Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bersidang sebelum ini menamatkan perkhidmatan 14 pelatih terbabit dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuatkuasa pada 24 Julai 2007 selepas mereka terbabit dalam kes penderaan ala Penjara Abu Ghraib terhadap Muhammad Hazim.

Keputusan MAT itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk bagi memelihara kredibiliti dan keutuhan ATM, khususnya TUDM.

Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Azman Ghazali, 50, yang ditemui selepas selesai perbicaraan bersama isterinya berkata, beliau dan keluarga bersyukur kerana kes ini akhirnya selesai selepas menunggu lebih tiga tahun dan menegaskan pihaknya akur dengan sebarang keputusan yang dibuat pihak kehakiman.:

“Diharapkan mereka yang terbabit akan belajar daripada kesilapan yang dilakukan dan menjadi orang yang berguna.

“Sehingga kini semua tertuduh terbabit masih belum meminta maaf kepada keluarganya dan Muhammad Hazim berhubung perbuatan mereka membuli anaknya itu. Bagaimanapun, saya menganggap keadilan sudah diperolehi pihak kami,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: