Monday, October 11, 2010

Sharifah Amani masih aktif



Sejak tahun 2005, nama Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya menjadi pilihan pengarah Yasmin Ahmad untuk membintangi filem Sepet sebagai Orked Atan. Kemudian Yasmin tidak menoleh kebelakangan lagi dan terus menggunakan Sharifah Amani sebagai teraju utama Gubra.

Sharifah Amani juga diangkat sebagai teraju utama dalam filem penuh kontroversi Mualaf yang banyak menerima kritikan dari sesetengah pihak.

Namun itu cerita lalu, semenjak Yasmin Ahmad kembali ke Rahmatullah tahun lalu, nama anak kedua pasangan Syed Zainal Rashid Al-Yahya dan Fatimah Abu Bakar seakan sepi dari industri tanah air.

Nama gadis yang mesra disapa Nani ini seakan dibawa ‘pergi’ bersama Yasmin Ahmad.

Peluang bertemu gadis kecil molek pada majlis mala gala Magika baru-baru ini merungkai ‘kehilangannya’ dari industri seni ini. Saat diajukan mengenai kehilangannya Nani pantas menolak dan mengatakan dia masih lagi wujud di dalam industri seni.

“Saya tidak pernah merasakan nama saya seakan sepi dari industri. Apabila Yasmin pergi, saya merasakan hilang separuh hidup saya. Jika saya boleh korbankan karier saya untuk mengembalikan Yasmin, sudah lama saya buat.

“Tapi saya sedar yang pergi tetap pergi. Cuma sekarang saya lebih selesa bekerja di belakang tabir saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Nani berkata, dia kini berhasrat untuk menyambung hasil-hasil karya yang telah dimulakan oleh Yasmin sebelum ini.

“Sebagai permulaan saya baru sahaja siap menghasilkan filem pendek, Sangkar. Menerusi sangkar saya bertindak sebagai penulis skrip, pengarah dan pelakon utama.

“Yasmin pernah berpesan kepada saya jika kita hendak menulis dan mengarah cerita perlulah dibuat berdasarkan apa yang kita tahu agar tidak terpesong.

“Pada awal pembikinan filem pendek ini, saya akui merangkak dan tidak tahu bagaimana ia harus bermula. Namun, saya bersyukur melihat hasilnya dengan bantuan anggota keluarga dan rakan kru produksi yang pernah bekerja dengan saya sebelum ini,” katanya.

Plotnya mengisahkan seorang pelajar di satu kawasan pedalaman berdepan kesempitan hidup akhirnya berkahwin dengan bapa kepada lelaki yang diminatinya.

“Menerusi beberapa maklum balas yang diterima ada yang mengatakan hasil kerja saya seperti karya Yasmin sebelum ini. Namun saya rasa belum masanya hasil kerja saya diletakkan sebaris nama Yasmin,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia berniat untuk menggantikan tempat Yasmin satu hari nanti, Nani menolak dan mengatakan dia masih merasakan belum layak untuk disamakan dengan Yasmin.

“Saya sememangnya berhasrat mahu menyambung apa yang Yasmin telah buat. Tetapi saya lebih selesa menyambungnya mengikut cara saya sendiri. Saya dapat merasakan saya belum mampu menghasilkan filem seperti sentuhan Yasmin,” katanya yang pernah menjadi Penolong Pengarah filem Talentime, dan Penolong Pengarah untuk aksi lagak ngeri bagi filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) arahan Yusry.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: