Wednesday, September 1, 2010

'Ya Allah, anakku sudah tiada lagi'

PELABUHAN KLANG: “Ya Allah...anak saya...anak saya sudah tak ada lagi.” Itulah rintihan seorang ibu, Noriah Ishak, 26, yang kehilangan anak sulung tersayang dalam kejadian kemalangan maut di Persiaran Raja Muda Musa, berhadapan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, di sini, semalam.

MALANG...anggota polis mengangkat jenazah Muhamad Yusop  yang meninggal dunia dilanggar  van.
MALANG...anggota polis mengangkat jenazah Muhamad Yusop yang meninggal dunia dilanggar van.
SEDIH...Noriah (kiri) ditenteram  rakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
SEDIH...Noriah (kiri) ditenteram rakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Lebih memilukan apabila kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Yusop Adnan, 7, bersama ibu dan beberapa rakannya dalam perjalanan ke pusat bandar Klang untuk membeli songkok sempena menyambut Syawal.

Difahamkan ketika kejadian, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Raja Zarina terlepas pegangan tangan dengan beberapa kawannya dan cuba berlari menyeberang jalan manakala ibunya mengekori dari belakang, sebelum sebuah van dipandu laju seorang lelaki gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Kesan daripada rempuhan kuat itu, mangsa dikatakan melambung beberapa meter sebelum tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala.

Noriah ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini tidak dapat menahan kesedihan sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga dan rakan.

Noriah berkata, anaknya itu pada mulanya mahu duduk rumah tetapi dia berkeras mahu anaknya itu mengikutinya selepas melihat rakannya turut membawa anak masing-masing bersama untuk membeli-belah.“Along (panggilan untuk Muhamad Yusop) pada mulanya tidak mahu ikut, tetapi selepas saya lihat anak-anak rakan saya turut sama, saya mengajaknya ikut bersama.


“Dia pada mulanya berat hati nak ikut, tapi selepas saya yakinkan dia dan beritahu takut songkok yang akan dibeli nanti tak sesuai dengan kepalanya menyebabkan dia akur,” katanya yang bekerja di kantin Sekolah Menengah Raja Lumu.

Noriah yang tinggal di Flat Bunga Raya, Pandamaran berkata, ketika kejadian dia bersama kira-kira 11 orang cuba melintas jalan ke seberang untuk menunggu bas ke pusat bandar.

“Masih saya ingat, ketika itu saya dan yang lain berdiri di atas garisan berkembar dan anak saya berlari ke seberang sebelum dirempuh.

“Saya hanya mampu meraung sekuat hati selepas dia melambung dengan darah memenuhi pakaian. Saya tak boleh bayangkan hilang semuanya dalam sekelip mata,” katanya sebak.

Noriah berpisah dengan suaminya dan bekerja kantin sejak setahun lalu juga mempunyai seorang lagi anak, Muhamad Putera Yusnadi Adnan, 4, tinggal bersama keluarganya di Mersing, Johor.

Katanya, malam kelmarin arwah menghubungi adiknya di Johor dan dia berjanji akan pulang berhari raya dan membeli baju baru serta bunga api untuk adiknya itu.

“Macam mana saya nak beritahu anak saya nanti, along sudah tak ada. Adiknya sedang tunggu kepulangan abangnya,” katanya sambil memeluk beberapa sahabatnya.

Ditanya perubahan pelik anaknya, Noriah berkata, ketika mandi pada pagi sebelum mereka ke bandar, anaknya meminta dia sabunkan badannya dan ketika bersahur awal pagi semalam arwah memintanya disuapkan makanan untuknya.

“Wajah along juga agak pucat sejak kebelakangan ini tetapi dia tetap bersemangat untuk berhari raya dan meminta saya beli pakaian mahal untuk balik kampung,” katanya menambah mangsa seorang budak baik dan tidak pernah membantah cakapnya dan setiap malam dia akan mengikutinya ke surau untuk solat Tarawih.

Mayat mangsa dibawa ke Mersing, Johor untuk urusan pengkebumian.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan pejalan kaki melintas jalan berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Raja Zarina berhadapan balai bomba menggunakan laluan bomba yang berpalang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: