Friday, September 3, 2010

Usaha sama bantu penyelidik UIAM

DALAM usaha membantu penyelidik menjalankan kerja penyelidikan dengan lebih pantas dan berkesan, Mimos Bhd (Mimos) menjalin kerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan kemudahan penyambungan berkelajuan tinggi berasaskan teknologi optik gentian dan inovasi perkomputeran ‘cloud’.

LANCAR...Abdul Aziz (kiri) dan Prof Dr Ahmad Faris pada pelancaran kemudahan ultrafast, semalam.
LANCAR...Abdul Aziz (kiri) dan Prof Dr Ahmad Faris pada pelancaran kemudahan ultrafast, semalam.
Ketua Pegawai Operasi Mimos, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, kemudahan berkelajuan sehingga 4 gigabit sesaat menghubungkan kampus UIAM di Gombak dengan Makmal Grid Mimos di Bukit Jalil.


“Jarak disediakan untuk menghubungkan dua lokasi itu sejauh 70 kilometer menggunakan gentian tunggal dengan teknologi Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM),” katanya selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, dengan kemudahan itu, kakitangan akademik UIAM serta pelajar sarjana dan tahun akhir dapat menjalankan penyelidikan dengan lebih pantas.


“Sebelum ini, tempoh diperlukan untuk melengkapkan kajian mengambil masa lama kerana masalah penyambungan dan kelajuan.


“Malah, penyelidik juga berdepan masalah pembelian lesen untuk penggunaan perisian kerana ada mencecah jutaan ringgit,” katanya.


Abdul Aziz berkata, UIAM institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama menawarkan perkhidmatan seumpama itu dan berharap dengan memperkenalkan kemudahan berkenaan, penyelidik akan menghasilkan bahan kajian lebih bermutu.


“Mimos dan UIAM melabur sehingga RM500,000 untuk merealisasikan perkhidmatan ini dan meletakkan harapan tinggi agar lebih banyak penyelidik di UIAM dapat menghasilkan penyelidikan yang berdaya saing dalam usaha menjadikan UIAM sebagai universiti penyelidikan,” katanya.


Dalam pada itu, Timbalan Rektor, Penyelidikan dan Inovasi UIAM, Prof Dr Ahmad Faris Ismail berkata, setakat ini, terdapat lebih kurang 15 penyelidik termasuk pelajar tahun akhir dan pengajian sarjana.


“Namun, kami menjangkakan jumlah penyelidik akan bertambah sehingga dua kali ganda sekiranya kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: