PENGANJUR Sukan Komanwel, India yang mendapat kecaman hebat daripada negara peserta sebelum ini dijangka berhadapan dengan satu lagi musibah menjelang tujuh hari sebelum temasya yang menghimpunkan kira-kira 7,000 atlet itu berlangsung dengan rasminya pada 3 Oktober.
TIBA...atlet boling padang negara selamat sampai di perkampungan sukan, kelmarin.
Menurut Pengurus Besar kontinjen Malaysia ke temasya itu, Jefri Ngadirin ancaman itu bagaimanapun lebih kepada aspek politik dan tidak begitu membimbangkan namun semua atlet dinasihatkan atau perlu dilarang keluar daripada perkampungan sukan mahupun venue pertandingan semasa temasya berlangsung.
India sebelum ini dibayangi dengan isu keselamatan, kesihatan, infrastruktur yang runtuh dan sebagainya sehingga sebilangan atlet terkenal, juara bertahan dan pemegang rekod dunia menarik diri daripada beraksi pada temasya itu.
Jefri yang turut menghadiri mesyuarat Chef de Mission (CDM) semalam menambah antara isu-isu yang dibangkitkan oleh negara peserta adalah berkaitan kebersihan dan kesediaan blok-blok penginapan.
“Pihak saya juga membangkitkan isu kebersihan dan dua orang wakil dari pejabat Ketua Menteri Delhi telah menyatakan kesediaan untuk membantu menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya.
Antara isu ditimbulkan di dalam mesyuarat itu adalah berkaitan perlindungan keselamatan kepada pegawai yang tiba di lapangan terbang di mana pihak berkuasa enggan memberi sebarang perlindungan keselamatan bagi pegawai yang bergerak dari lapangan terbang ke perkampungan sukan dan hanya menumpukan lindungan keselamatan kepada para atlet.
Ia menimbulkan kemarahan di kalangan CDM yang hadir kerana pihak tuan rumah telah mungkir janji tentang perlindungan keselamatan sebagaimana pembentangan sebelum ini.
Sementara itu mengenai keadaan blok 13 yang akan menjadi penginapan kontinjen Malaysia, Jefri berkata pihak penganjur sudah mendengar keluhan mereka dan menghantar lebih ramai pekerja untuk membersihkan dan menyusun bilik di blok itu.
“Beberapa isu berkaitan pendawaian, elektrik, sistem paip di periksa dan diberi tumpuan walaupun tidak sepenuhnya tetapi dapat membantu mengurangkan masalah yang ada,” tambahnya.
Sebahagian besar atlet dan pegawai Malaysia akan tiba di India pada Selasa ini bersama-sama CDM Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif namun skuad boling padang kebangsaan sudah pun tiba di negara itu bagi menjalani latihan penyesuaian sejak Jumaat lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: