Sunday, September 26, 2010

Sekat tayangan filem ganas



Dewasa ini, masyarakat kita sering disajikan dengan filem-filem aksi yang kadang-kala disifatkan melampau dan boleh mempengaruhi pemikiran dan tindakan sesetengah penonton.

Apatah lagi lumrah biasa kehidupan manusia yang gemar mencuba sesuatu yang baru menyebabkan kebanyakan perlakuan ganas dikaitkan dengan tontonan mereka pada aksi-aksi di layar Perak.

Terbaru, kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dikaitkan dengan aksi-aksi ganas lakonan filem Tamil dan beberapa filem aksi lain.

Namun, sejauh mana kesahihan dakwaan yang mengatakan aksi-aksi di dalam filem ataupun drama mempengaruhi penonton?

Ikuti komen Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau Matt London mengenai isu ini.

“Filem berunsur ganas bukan fenomena baru dalam sejarah perfileman di dunia. Kategori filem ganas telah bermula semenjak tahun 1938 lagi. Malah ketika pada zaman peperangan lagi, kita dapat melihat banyak filem berunsur keganasan. Namun, ia boleh dikategorikan sebagai keganasan bertempat dan bersesuaian dengan keadaan semasa ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Matt London berkata, bergerak seiring dengan kecanggihan teknologi sekarang, aksi-aksi ganas di dalam filem dapat di lihat semakin ‘maju’ dan kadang kala mempengaruhi tindakan luar pemikiran mereka untuk mencuba apa yang di lihat.

“Purata penonton yang menonton aksi-aksi ganas di layar perak dan meniru atau mengaplikasikan apa yang mereka tonton hanya satu hingga dua peratus sahaja. Bukan semua yang menonton aksi-aksi ganas akan turut menjadi ganas.

“Jika kita lihat bukan saban tahun kita dikejutkan dengan kes-kes pembunuhan yang dianggap kejam. Ia hanya berlaku mengikut keadaan tertentu dan jarak masa kejadian ngeri ini hanya berlaku lima ke 10 tahun sekali,” katanya.

Menurutnya, aksi ganas dapat dilihat dengan pelbagai aspek contohnya aksi pergaduhan berkumpulan, pembunuhan melampau seperti menikam dan memancung kepala perlu dikaji balik.

Katanya, Malaysia jarang menghasilkan filem yang mempengaruhi aksi ganas melampau dan jika ada sekalipun hanya 20 hingga 30 peratus sahaja yang dapat di lihat.

“Filem Malaysia jarang mempamerkan aksi ganas melampau. Kebanyakan aksi ganas ini hanya dari filem luar negara yang mementingkan syot-syot yang nampak tragis tanpa memikirkan kesannya terhadap penonton.

“Filem Tamil atau Hindi adalah salah satu filem tanpa sedar mempunyai aksi-aksi ganas atau ngeri yang kesudahannya hukuman yang diterima si pelaku itu tidak setimpal dengan perbuatan ganasnya dari permulaan cerita.

“Walau bagaimanapun kita tidak harus menuding jari kepada filem Tamil atau Hindi sahaja kerana banyak filem dari Barat atau filem-filem luar juga mempamerkan aksi-aksi ganas yang melampau,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: