Thursday, September 2, 2010

Que Haidar Mula Kurang Dapat Tawaran Berlakon

Que Haidar bersama-sama isteri, Linda Jasmine ketika majlis berbuka puasa anjuran Linda Jasmine Studio di Saloma Bistro, minggu lalu.

PELAKON Que Haidar mengakui kurang mendapat tawaran berlakon selepas dia membuat keputusan untuk mengundurkan diri secara berperingkat sebagai seorang pelakon.

Bagaimanapun ia tidak bermakna dia ingin berundur terus dalam bidang berkenaan sebaliknya mahu memberi tumpuan terhadap kerjayanya guru lakonan di Linda Jasmine (LJ) Studio dan di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) cawangan Bandar Sunway.

Kata Que, dia hanya akan menerima tawaran yang betul-betul menarik bergantung kepada skrip, karakter dan lokasi penggambaran terlebih dahulu.

Seperti yang diketahui, kariernya sebagai guru lakonan bermula sejak bergelar tenaga pengajar dalam program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) baru-baru ini.

Linda dan Que mengagah Ratu.

Sekarang ini, Que hanya menumpukan masa di LJ Studio pada setiap Jumaat, pukul 9 hingga 10.30 malam manakala tugasnya di Unitar akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Que mengajar setiap dua jam seminggu di Unitar.

Jika tiada aral, dia juga ditawarkan untuk mengajar di salah sebuah pusat pengajian tinggi awam di Bangi, Selangor. Namun dia enggan berbicara lanjut kerana tawaran itu masih belum memberikan kata putus.

“Selepas AF8, saya bekerja sebagai guru lakonan di LJ Studio dan mulai awal Ogos lalu, saya turut mengajar pelajar jurusan diploma yang mengambil subjek lakonan sebagai subjek elektif di Unitar.

“Kini kerjaya sebagai pelakon menjadi kerja nombor dua saya. Biarpun tawaran berlakon yang datang banyak sekalipun dan orang kata saya ‘gila’ sebab menolak tawaran, tapi saya rasa masanya dah tiba untuk saya membuat keputusan seperti ini.

“Saya sudah mencapai cita-cita untuk bergelar pelakon, dah menang anugerah dan berkahwin serta ada anak, jadi tiada apa yang saya perlu kejarkan lagi. Jadi, saya hanya perlu memikirkan tentang keluarga. Kalau saya berlakon sepenuh masa, masa untuk saya bersama mereka akan berkurangan,” tegasnya.

Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga dengan koreografer Linda Jasmine, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar yang sekarang berusia 10 bulan.

Dalam beberapa perkara penting, Que tidak menafikan mengambil contoh pelakon seperti Fatimah Abu Bakar dan Datuk Rahim Razali yang tidak terlalu kerap muncul di layar lebar.

Bukan itu sahaja, pelakon filem Duhai Si Pari-Pari dan Selamat Pagi, Cinta! ini turut melihat bagaimana sesetengah pelakon Hollywood yang sanggup berehat selama lima tahun sebelum berlakon semula selepas itu.

“Dalam tempoh berehat, saya berpeluang untuk belajar banyak perkara daripada masyarakat. Saya juga tak kisah kalau orang kata tak takut ke nanti peminat lupakan saya sebab saya tak pernah fikir berlakon untuk popular. Popular akan datang kemudian. Sama seperti rupa paras yang tidak kekal tetapi bakat akan kekal selama-lamanya,” ujarnya.

Pada tahun depan, Que juga merancang untuk membuka sebuah perniagaan. Katanya, lebih mudah menerima gaji bulanan berbanding bergelar pelakon dengan gaji yang tidak menentu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: