Wednesday, September 22, 2010

Paris Hilton ditahandi lapangan terbang Jepun


PARIS HILTON (dua dari kiri) duduk di dalam sebuah mahkamah di Las Vegas kelmarin.


TOKYO - Selebriti Paris Hilton ditahan oleh beberapa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Narita di sini semalam selepas dia berlepas dari Las Vegas, Amerika Syarikat.

Dia yang popular menerusi program realiti televisyen The Simple Life tiba di lapangan terbang tersebut dengan menaiki sebuah pesawat sewa khas.

Hilton ditahan kerana beberapa pegawai polis menyoalnya selepas seorang hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya di sebuah mahkamah di Las Vegas kelmarin.

Seorang pegawai di lapangan terbang itu memberitahu, seseorang yang telah dijatuhkan hukuman tidak dibenarkan memasuki Jepun kecuali atas sebab-sebab tertentu.

Hilton dijadual mempromosikan beg tangan dan aksesori yang menggunakan jenamanya di Tokyo pada hari ini tetapi majlis tersebut telah dibatalkan.

Kelmarin, Hilton mengaku bersalah di sebuah mahkamah di sini atas tuduhan menyorokkan kokain di dalam beg tangannya dan menipu seorang pegawai polis semasa dia ditahan di sebuah pusat peranginan di Las Vegas pada Ogos lalu.

Ekoran pengakuan itu, Hilton diletakkan di bawah tempoh percubaan selama setahun, didenda sebanyak AS$2,000 (RM6,200) dan perlu melaksanakan khidmat sosial selama 200 jam.

Jika melanggar tempoh percubaan, Hilton yang berumur 29 tahun boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun. Peguam Hilton, David Chesnoff menegaskan bahawa anak guamnya juga akan menghadiri program rawatan pembaziran harta.

"Saya tahu Hilton sudah menyesal dan bertanggungjawab berhubung tindakannya," kata Chesnoff.

Peguam dan pihak pendakwa raya menegaskan bahawa Hilton tidak menerima sebarang layanan istimewa sebaliknya dia akan dilayan sama seperti pesalah yang lain. Dia dan kekasihnya, Cy Waits, 34, ditahan polis selepas seorang pegawai polis menghidu bau ganja dari sebuah kereta yang dinaiki mereka di sini pada 26 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: