![]() |
| PARIS HILTON |
LOS ANGELES - Selebriti Paris Hilton kelmarin dikenakan tuduhan memiliki kokain dalam satu penahanan berprofil tinggi di Las Vegas namun dia mungkin tidak akan dipenjarakan.
Hilton yang berusia 29 tahun itu berdepan hukuman dipenjarakan sehingga empat tahun di penjara Nevada sekiranya didapati bersalah atas tuduhan memiliki 0.8 gram 'serbuk kokain' di dalam beg tangannya.
Namun, Hilton mendakwa beg tangan itu milik kawannya.
Memetik kenyataan seorang pakar undang-undang, akhbar Los Angeles Times melaporkan Hilton mungkin dikenakan hukuman program pemulihan sekiranya pendakwa raya berjaya menyabitkan kes mereka.
Hilton dan teman lelakinya, Cy Waits ditahan pada malam Jumaat lalu selepas polis menyatakan mereka terhidu asap marijuana dari kenderaan artis terbabit.
Pada tahun 2007, Hilton pernah menjalani hukuman penjara selama tiga minggu di penjara Los Angeles kerana melanggar tempoh percubaan atas dakwaan memandu secara cuai.
Pada Julai lalu, dia ditahan kerana disyaki memiliki marijuana di Afrika Selatan semasa Piala Dunia berlangsung tetapi dia dibebaskan oleh polis dan tidak dikenakan sebarang dakwaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: