Thursday, September 2, 2010

Liyana Jasmay Beramal Untuk Anak Yatim

Liyana Jasmay begitu manja dengan ibunya, Habsah Simpon.

SEJUK perut ibu mengandung, apabila melihat anaknya sanggup mendermakan sedikit wang hasil titik peluh kerja seninya.

Begitulah perasaan Habsah Simpon,53, mengenai anak bongsunya, Liyana Jasmay,22, yang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama-sama 70 orang anak yatim dari rumah anak yatim Rabeka, Ukay Perdana.

Pada malam menjelang Hari Kemerdekaan, Liyana Jasmay turut meraikan kaum keluarga dan rakan-rakan di restoran Ikan Sungai, Desa Melawati, milik keluarganya.

Habsah berkata Liyana mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai katering daripada syarikat Besta Corporation Sdn Bhd yang diterajui oleh bapanya, Jasmay Shah selaku Pengarah Urusan.

Liyana menyampaikan angpau raya kepada anak yatim semasa menganjurkan majlis berbuka puasa di restoran Ikan Sungai, Desa Melawati, 30 Ogos lalu.

Sementara itu Liyana berharap dengan melakukan majlis berkenaan sekurang-kurang dapat menyempurnakan sedekah dan zakatnya.

“Insya-Allah, saya akan menganjurkan majlis berbuka puasa seperti ini pada setiap tahun selepas pertama kali menganjurnya pada tahun lalu,” kata Liyana.

Mengaku Bercinta Dengan Zahiril Tapi…

Mengenai gembar-gembur yang mengatakan dia menjalinkan cinta dengan aktor muda, Zahiril Adzim Liyana tidak menafikan perkara itu namun cinta itu hanya wujud dalam filem Senjakala sahaja.

Tetapi mereka tidak bercinta seperti sesetengah pasangan yang sedang dilamun cinta. Kalau nak tahu bagaimana, penonton perlu menyaksikan filem ini di pawagam pada yang Februari atau Mac tahun depan.

Liyana Jasmay melayan anak-anak yatim mengambil hidangan mereka semasa menganjurkan majlis berbuka puasa di restoran Ikan Sungai, Desa Melawati, 30 Ogos lalu.

Filem Senjakala arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri ini sedang menjalani pengambaran di sekitar Bukit Cerakah, Hulu Langat dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) selama 30 hari bermula 8 Ogos lalu.

“Filem Senjakala bukan seperti filem cinta tipikal yang kita pernah tonton sebelum ini. Tentang Zahiril, memang saya yang cadangkan namanya selain beberapa nama pelakon lelaki lain kerana dia merupakan pelakon yang bagus.

“Tidak dinafikan, hubungan kami menjadi rapat sejak saling mengenali dalam filem Kami The Movie. Tetapi kami tidak selalu berjumpa sebab dia sibuk dengan teater,” ujarnya yang cantik menggayakan jubah moden rekaan Inai.

Tumpang Gembira Untuk Aizat

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem Papadom itu mengakui tidak bermusuh dengan penyanyi dan komposer Aizat Amdan apabila pasangan itu didakwa tidak seakrab dulu.

Malah Liyana turut meluahkan rasa gembiranya apabila mendapat berita tentang pemergian Aizat ke United Kingdom pada tahun depan bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang muzik.

Liyana berkata, selepas menyelesaikan pengajian Diploma Seni Persembahan & Mediadi Kolej Sunway pada November tahun depan, dia juga akan mengikut jejak langkah Aizat untuk melanjutkan pelajaran di Sydney, Australia dalam bidang persembahan muzikal.

“Saya akan mengambil kursus jangka masa pendek dalam empat hingga enam bulan di universiti terbaik di luar negara untuk mendapat sijil. Saya hanya belajar apa yang saya suka dan tidak mensasarkan untuk mendapat ijazah doktor falsafah (PhD),” beritahunya.

Dalam tempoh tiga tahun lagi, duta Maybeline ini merangka untuk membuka syarikat produksi sendiri.

Ditanya sama ada dia menjemput Aizat datang ke majlis tersebut, Liyana mengakui ada menjemput penyanyi lagu Sungai Lui itu namun lelaki itu tidak dapat hadir kerana sedang bercuti di London.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: