Friday, September 3, 2010

Laluan pencuri

SEREMBAN: Pembukaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) terutama di kawasan Senawang sejak awal bulan lalu menimbulkan masalah apabila kira-kira 2,500 penduduk Taman Bukit Margosa Paroi, dekat sini, mendakwa kemudahan itu memudahkan penjenayah meloloskan diri.

JALAN PINTAS...laluan yang menghubungkan Lekas dengan Taman Bukit Margosa, Paroi.
JALAN PINTAS...laluan yang menghubungkan Lekas dengan Taman Bukit Margosa, Paroi.
BERKAWAL...anggota SRS Taman Bukit Margosa berkumpul sebelum membuat rondaan.
BERKAWAL...anggota SRS Taman Bukit Margosa berkumpul sebelum membuat rondaan.
Penduduk mendakwa, sejak pembukaan lebuh raya itu, taman perumahan berkenaan kerap menjadi sasaran penjenayah berikutan kejadian pecah rumah pada waktu malam dan pagi terutama rumah di tepi lebuh raya terbabit.


Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Margosa, Azizul Rahman Md Yusof, berkata sejak kebelakangan ini terutama selepas lebuh raya terbabit siap, kes kecurian dan pecah rumah kerap berlaku di taman itu.


Katanya, sebelum ini jenayah jarang berlaku di situ menyebabkan penduduk kini bimbang terutama ketika keluar bekerja kerana ada di kalangan mereka yang bekerja di Kuala Lumpur atau Shah Alam dan pulang lewat sehingga awal pagi.


“Dalam seminggu tidak kurang antara dua ke tiga kes kecurian dan pecah rumah berlaku dan sejak awal Ogos lalu tidak kurang 12 kes sama berlaku terhadap penduduk di taman ini. Kes terbaru berlaku pada kira-kira jam 3 pagi Isnin lalu apabila kenderaan Toyota Alphard milik seorang penduduk nyaris dilarikan pencuri.


“Mangsa yang menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur dan ketika kejadian tidur tidak menyedari pintu pagarnya dipecah masuk sekumpulan tiga lelaki, namun kejadian itu disedari anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang melakukan rondaan malam hingga pagi setiap hari di kawasan terbabit,” katanya.


Menurutnya, sebelum ini beberapa kejadian pecah rumah berlaku di taman itu membabitkan kerugian wang dan barang kemas bernilai RM500 hingga RM4,000.


Azizul Rahman berkata, siasatan pihaknya mendapati kegiatan itu dilakukan orang luar dari kawasan itu termasuk kemungkinan didalangi warga asing berdasarkan kenderaan mereka gunakan ketika melarikan diri atau kesan rompakan.


Katanya, jika sebelum ini penjenayah merosakkan atau meloloskan diri melalui pagar taman, tetapi kini mereka dikesan menggunakan laluan masuk dan keluar ke taman berkenaan yang menghubungkan Lekas sebagai jalan pintas untuk melarikan diri.


“Berikutan beberapa kejadian yang tidak diingini itu, anggota SRS taman ini terpaksa memperhebatkan aktiviti rondaan malam sehingga pagi termasuk pada bulan Ramadan ini bagi memastikan kawasan perumahan kami tidak dijadikan sasaran penjenayah.


“Setiap malam 10 anggota SRS akan menjalankan tugas membuat rondaan bagi memastikan kegiatan jenayah dapat dibanteras selain bagi membantu pihak berkuasa terutama polis dalam menangani sebarang aktiviti tidak sihat,” katanya.Sementara itu, Setiausaha KRT taman itu, Jamuri Abdullah, 39, berkata ramai penduduk taman berkenaan melahirkan kebimbangan dengan beberapa kejadian jenayah berlaku sejak kebelakangan ini.


Menurutnya, mereka kini terpaksa lebih berwaspada dengan memastikan tahap keselamatan rumah masing-masing di tahap terbaik.


“Saya percaya kedudukan taman ini berhampiran lebuh raya memudahkan penjenayah melakukan kegiatan itu.


“Kami berharap pihak berkuasa terutama polis membantu supaya taman ini bebas kegiatan tidak sihat dan boleh mengancam nyawa penduduk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: