Sunday, September 26, 2010

Lagu baru dan kain pelikat ketujuh


HERMAN TINO kembali menyanyi bukan untuk popular tetapi melunaskan apa yang belum selesai.


SELIKAT darah yang mengalir meresapi sarafnya, sebegitu likat juga cinta penyanyi senior, Herman Tino itu terhadap seni dan nyanyian.

Empat tahun dia menyepi tanpa produk baru, akhirnya Herman termakan juga pujuk rayu untuk kembali melontarkan lagu.

Pemilik nama sebenar, Masrun Tamsi, 55, anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu kali terakhir merakamkan album adalah pada tahun 1990 yang berjudul Apa Dosaku.

"Baru kini saya kembali, itu pun setelah dipujuk oleh penyanyi muda Heliza yang mahu melihat saya terus menyanyi.

"Kini saya bernaung di bawah syarikat rakaman Heliza Helmi Productions Sdn. Bhd. (HHP)," katanya yang sedang mempopularkan single terbarunya, Amit-Amit Jabang Bayik yang bermaksud 'Minta Dijauhkan'.

"Saya sudah penat menyanyi tetapi memandangkan saya masih berbaki dua helai kain pelikat yang belum dipakai, saya paksa diri untuk kembali menyanyi," tuturnya yang mempunyai cerita di sebalik imej kain pelikat yang tersandang di bahunya.

Mula menyanyi pada usia 15 tahun, Herman Tino menjelaskan, dia memiliki kesemua sembilan helai kain pelikat yang dihadiahkan ibunya.

"Kain-kain pelikat itu saya gunakan setiap kali tampil dengan produk baru. Saya telah menghasilkan tujuh album bermakna sudah tujuh helai kain pelikat digunakan.

"Jadi untuk single terbaru ini, saya gunakan kain pelikat yang kelapan sepanjang kemunculan saya.

"Jika kain pelikat yang terakhir tidak sempat saya gunakan, ia akan dihadiahkan kepada anak lelaki saya," katanya yang bekerjasama dengan komposer berbakat, Mohammad Atlas untuk penghasilan lagu Amit-Amit Jabang Bayik.

"Lagu itu sudah dihasilkan 13 tahun lalu tapi baru tahun ini dapat disiapkan. Ia bersifat kemasyarakatan dan memberi nasihat.

"Rasanya sejak dahulu lagi saya gemarkan lagu-lagu sebegitu," ujarnya yang merupakan suami kepada bekas penyampai radio popular, Noraini Ibnu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: