![]() |
| ROMBONGAN Kids on 2 menziarahi rumah salah seorang penerima sumbangan Ramadan di Sabak Bernam baru-baru ini. |
BENARLAH orang Malaysia sangat pemurah. Mereka yang berkemampuan sentiasa mahu berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Apa lagi di bulan penuh kemuliaan ini, ramai yang mahu mengambil kesempatan untuk menggandakan jariah mereka.
Bukan saja individu, bahkan produksi program televisyen juga tidak melepaskan peluang menziarah mereka yang memerlukan bantuan.
Produksi Kids on 2 yang diwakili oleh Television Airtime Services (TAS) Cyberbang Sdn. Bhd., misalnya turut melakukan kerja amal di bulan Ramadan.
Baru-baru ini, mereka telah bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) melakukan kerja amal melawat 20 buah rumah golongan kurang berkemampuan.
Kediaman yang terpilih merupakan lima isi rumah bagi setiap daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Gombak.
Menurut Penerbit Eksekutif Kids on 2, Abdul Razak Mohd Amin, pihaknya terpanggil untuk melakukan kerja amal ini memandangkan masih ada yang di kalangan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Kami juga mahu memastikan tidak ada orang yang bersedih di hari yang mulia. Kerana itu, kami mahu berkongsi kemanisan hidup di bulan Ramadan dengan mereka yang kekurangan,” kata Abdul Razak.
Pada masa yang sama, usaha murni itu kata Abdul Razak, diadakan sebagai memberi kesedaran dan mendekatkan Buzz serta hos-hos Kids on 2 dengan masyarakat kurang bernasib baik.
“Kami mahu memupuk rasa tanggungjawab di kalangan semua yang terlibat dalam produksi ini dan penonton,” ujarnya.
Apa yang paling utama juga, Abdul Razak memberitahu, TAS mahu menjadikan aktiviti menziarah mereka yang kurang bernasib baik sebagai aktiviti berterusan.
“Semoga usaha ini akan dicontohi oleh orang lain khususnya peminat-peminat Kids on 2 serta ikatan kasih sayang sesama kita akan lebih kukuh,” kata Abdul Razak.
Rakaman aktiviti kerja-kerja kemasyarakatan Kids on 2 dapat ditonton pada pukul 7.30 pagi ini dan esok (4 September) di TV2.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: