
SEPULUH kumpulan teratas memberikan persembahan terbaik ketika pentas akhir pertandingan Dentyne ConfiDance Movement yang berlangsung di Sunway Pyramid, Petaling Jaya baru-baru ini.
Menjadi penganjuran yang pertama seumpamanya oleh Dentyne, pertandingan tarian itu seharusnya mendapat pujian kerana mempunyai matlamat positif.
Dengan objektif mengikis perasaan malu di kalangan peserta dan menggalakkan mereka untuk tampil lebih berkeyakinan, pertandingan itu turut menjanjikan hadiah-hadiah menarik.
Pasukan Votion Force tampil dengan gerakan lincah dan bertenaga bagi melayakkan mereka dinobatkan sebagai penerima hadiah utama. Pasukan tersebut membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Muncul di tempat kedua dalam pencarian jaguh tarian itu tidak mengecewakan pasukan 10 10 10 10. Pasukan itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM6,000 sementara kumpulan ECX menduduki tempat ketiga dengan menggondol wang tunai sebanyak RM4,000.
Berentap dengan peserta-peserta dari pasukan lain, Votion Force mempersembahkan tarian dengan kareografi unik dalam dua pusingan. Mereka menggabungkan rentak Dentyne ke dalam persembahannya dengan ketepatan dan waktu yang sempurna.
Memeriahkan persembahan akhir tersebut dengan lagu-lagu medley, suasana gamat bertukar lebih meriah apabila persembahannya turut diiringi dengan lagu Malaysia Truly Asia.
10 10 10 10 meletakkan persaingan sengit ke atas kumpulan ECX dengan perbezaan markah yang tidak ketara. Namun, skil persembahan cerita yang lebih menarik telah dipamerkan 10 10 10 10 dalam usaha menyerlahkan gaya kumpulan mereka.
Menurut Pengurus Kumpulan Jenama Cadbury, Yee Pek Kuan, pihaknya berbangga kerana dapat menganjurkan pertandingan tersebut buat kali pertama. Beliau menyifatkan pertandingan itu mampu menjadi platform kepada pembinaan semangat menari dan menonjolkan bakat luar biasa itu kepada orang ramai.
"Setiap kumpulan telah mempamerkan kerjasama, kreativiti, kareografi dan pastinya akan menjadi tanda aras kepada pertandingan tarian akan datang," ujar Pek Kuan.
Panel-panel juri yang terlibat dalam pertandingan tersebut termasuklah hos televisyen, produser dan bekas penari balet, Jojo Struys; editor Asia Dance Network, Choy Su-Ling; pengasas Urban Groove Dance Network, Joel Tan; Pengarah Kreatif Eksekutif McCann Erickson Malaysia, Szu dan Pengurus Kumpulan Jenama Cadbury Malaysia, Yee Pek Kuan.
Lebih memeriahkan suasana gamat pertandingan tersebut, penonton turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah ketika pertandingan berlangsung. Tiga buah iPad telah menemui penonton bertuah masing-masing.
Pertandingan anjuran Dentyne tersebut mencapai matlamatnya dengan penganjuran yang berjaya selain menonjolkan bakat-bakat baru yang lebih berkeyakinan dan berbakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: