
SEMPENA Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Jumaat depan, pelbagai pihak telahpun membuat persiapan untuk menyambutnya, tidak terkecuali stesen-stesen radio.
Stesen radio Selangor FM sebagai contoh, sudah menyediakan ‘juadah raya’ buat pendengar setia mereka dengan mencari ‘ramuan’ sehingga ke Sabah.
Di sana, stesen radio itu membuat rakaman selama lima hari itu yang turut disertai dua bintang kelahiran program realiti TV, Akademi Fantasia, Farhan dan Eby Kornelius serta juara Bintang P. Ramlee RTM, Ibnu Fared.
Menurut Pengarah Penyiaran Selangor, Sabri Mansor, apa yang cuba diketengahkan oleh stesen radio itu adalah untuk merealisasikan program yang berkonsepkan integrasi nasional dengan membawa pendengar Selangor ke Sabah dan sebaliknya pendengar Sabah ke Selangor.
Katanya, program seumpama itu juga bertujuan untuk merapatkan mereka yang jauh pada hari raya nanti dengan cara menyampaikan ucapan mereka yang dibuat di Sabah untuk diperdengarkan kepada kaum keluarga mereka di Selangor.
“Kami memperdengarkan ucapan mereka yang berada di Sabah kepada ahli keluarga mereka di Selangor. Rakaman yang kami buat ketika di Sabah ini nyata meraih sambutan yang memberansangkan daripada warga Selangor yang berada di Sabah,” katanya ketika ditemui di Rakaman Hari Raya Selangor FM di One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Tambah Sabri, program seumpama itu juga dibuat agar memberi pendedahan dan menjalinkan kerjasama antara Selangor FM dan Sabah FM.
“Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan begitu juga Selangor. Justeru, apabila ada program Selangor FM yang dibuat di Sabah secara tidak langsung akan memberi pendedahan kepada semua kru termasuk penyampai dan yang lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, antara program yang telah berjaya dirakam termasuklah drama hari raya berjudul Nasi Tomato Nasi Beriani, acara berbalas pantun raya dan Fiesta Lebaran.

Menurutnya lagi, kesemua program tersebut akan disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti di frekuensi 100.9 Selangor FM.
“Semua program yang dirakam itu disertai oleh penyampai-penyampai Selangor FM dan Sabah FM. Aktiviti-aktiviti seumpama ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara mereka selain memberi ruang untuk mereka berkenalan.
“Sebelum ini mereka mungkin kenal nama antara satu sama lain tetapi pada program seumpama ini mereka dapat bertemu,” ujarnya.
Sabri memberitahu, pihaknya akan meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang, sementelah langkah tersebut membuat sesuatu yang positif kerana ia dapat mendekatkan Selangor FM dengan masyarakat.
“Bila adanya program macam ini kami pergi keluar dari negeri Selangor dan akan membawa pulang bahan-bahan luar contohnya tempat-tempat menarik untuk dijadikan informasi buat para pendengar kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: