Wednesday, September 1, 2010

Didakwa Menyeleweng, Persatuan Seni Desak Freddie Fernandez Berundur

Zaienal Abidin Omar (tengah) bersama pemimpin persatuan-persatuan seni selepas mesyuarat tergempar mengenai kemelut Persatuan Karyawan di PWTC, Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Pemimpin persatuan-persatuan seni, Selasa, sepakat menolak kepimpinan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez daripada menerajui persatuan itu sebaliknya menyokong ahli seumur hidup Karyawan, Zaienal Abidin Omar untuk mengambil alih kepimpinan berkenaan.

Dalam mesyuarat tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa, persatuan-persatuan berkenaan juga mendesak Freddie supaya berundur diri.

Pemimpin-pemimpin persatuan itu ialah Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M.Daud, Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia, Ong Peng Chu, dan Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mokhtar Abu Bakar.

Turut mendesak Freddie berundur ialah Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia, Datuk Ismail Hudson.

Hadir sama artis veteran Datuk Aziz Satar.

Dalam mesyuarat yang diadakan itu mereka turut mendakwa sepanjang menjadi Presiden Karyawan, Freddie dikatakan telah melakukan banyak penyelewengan.

Zaienal Abidin akan menentang Freddie bagi merebut jawatan Presiden Karyawan.

“Berdasarkan kepada mesyuarat yang diadakan, pihak kami memang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Freddie dan menyokong Zaienal Abidin untuk bertanding jawatan itu kerana kami mahu industri hiburan ini menjadi aman,” kata M.Daud ketika berucap pada majlis tersebut.

Kemelut Karyawan menjadi semakin tegang apabila pada Ahad lalu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terpaksa ditangguhkan apabila berlaku kekecohan.

Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa- Kuasa Khas) pada 2 Julai lalu mengarahkan satu Mesyuarat Agung di adakan dalam tempoh 60 hari dari perintah yang dikeluarkan.

Zaienal Abidin berkata, dia masih lagi ahli seumur hidup Karyawan yang sah dan layak untuk bertanding jawatan berkenaan.

Katanya, dia mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli sehingga kehadirannya dalam AGM tersebut disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar menyebabkan Freddie merasakan kedudukannya semakin goyang.

Atas dasar itu ujar Zaienal Abidin dia berhasrat mengambil alih persatuan yang ditubuhkan atas inisiatifnya sebelum ini.

Bercerita mengenai kekecohan yang berlaku Ahad lalu itu ujar Zaienal Abidin ia disebabkan kegagalan jawatankuasa bebas yang dilantik mengendalikan mesyuarat kerana tidak mempunyai pengalaman.

Komen pemimpin-pemimpin persatuan

“Saya tidak sukakan cara Freddie kerana dia gemar melakukan tindakan menentang arus.” - Ismail Ahmad (Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia - Swam)

“Tak mahu Freddie menjadi duri dalam daging. Bila jadi isu seperti ini, kami mahu pemimpin yang boleh majukan industri kita.” – Mokhtar Abu Bakar (Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia – Profima)

“Kekecohan yang berlaku tidak begitu manis. Kami bersatu mahu singkirkan Freddie Fernandez.” – Datuk Ismail Hudson (Presiden Persatuan Artis Veteran).

“Kita patut tolong-menolong dalam persatuan tetapi Freddie selama ini banyak memburukkan persatuan sehingga sanggup hantar surat kepada menteri untuk tutupkan persatuan lain.” – Ong Peng Chu (Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: