Wednesday, September 1, 2010

Artis kejutkan bangun sahur


DAUS, Hafiz, Tomok dan Zoey teruja dengan pengalaman mereka pada Ramadan kali ini.


SIAPA yang tidak sedih kalau orang yang kita sayang terutamanya ibu bapa tiada di samping ketika menyambut bulan Ramadan dan hari lebaran. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan dorongan daripada ibu bapa untuk memulakan kehidupan.

Namun atas keprihatinan portal hiburan murai.com.my telah menganjurkan program Yok Sahur 3 untuk mengubati penderitaan rohaniah kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Menurut Ketua Editornya, Ellyna Ali, pihaknya telah menganjurkan program seumpama ini selama dua tahun berturut-turut dan telah berjaya menjadi sebuah jenama yang cukup dikenali dalam portal murai.com.my.


KEMERIAHAN suasana bersahur antara artis dan anak-anak yatim di Rumah Silaturahim Nurul Qana'an.


Katanya, pada asalnya dahulu Yok Sahur hanyalah dilakukan secara kecil-kecilan bagi memenuhi isi kandungan murai tentang hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti selebriti di waktu bulan Ramadan serta menjelang Syawal.

“Namun atas permintaan serta mendapat sambutan yang menggalakkan, ia telah menjadi sebuah program yang wajib diadakan setiap tahun. Apa yang menariknya ialah Yok Sahur merupakan sebuah program berbentuk tanggungjawab sosial korporat yang mengajak golongan selebriti untuk menjayakan aktiviti amal dengan bersahur bersama anak anak yatim,” ujarnya pada majlis itu di Rumah Silaturahim Nurul Qana‘an, di Taman Batu, Batu Caves, Selangor baru baru ini.

Tambahnya, pelbagai aktiviti yang telah diadakan sempena program Yok Sahur 3. Selain bersahur, selebriti yang terlibat dalam program ini akan turut meluangkan masa untuk menghiburkan anak-anak yatim dengan menyanyi, bercerita atau bermain beberapa aktiviti permainan yang menyeronokkan.


GELAGAT Hafiz bersama anak-anak yatim ketika mengejutkan mereka untuk bersahur.


“Ada juga artis yang menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan, makanan serta duit raya kepada anak-anak yatim itu,” katanya.

Antara artis yang turut serta dalam program itu ialah seperti Tomok, Ifa Radziah, Fazli Zainal, Siti Nordiana, Herman Tino, Daus, Heliza, Hafiz dan ramai lagi. Dua rumah kebajikan lagi yang terlibat adalah Rumah Anak-Anak Yatim/Miskin Klang dan Rumah Anak-Anak Yatim dan Saudara Baru Shifa, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: