Monday, August 2, 2010

Yuna


YUNA mengadakan persembahan istimewa selama dua malam sempena pelancaran album sulungnya, Decorate.


KEHADIRANNYA di persada seni tanah air tempatan harus diakui telah merobah iklim industri muzik tanah air.

Di kala pasaran muzik semakin suram, kemunculan seorang gadis manis dengan imej bertudung dan memperkenalkan dirinya sebagai Yuna pantas menarik perhatian ramai.

Usianya dalam muzik arus perdana baru setahun jagung tetapi populariti dan pengiktirafan yang diberikan kepadanya setaraf dengan penyanyi ternama sedia ada.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai barangkali boleh diletakkan dalam senarai sebagai salah seorang individu yang perlu diberi perhatian untuk terus mengangkat martabat industri rakaman tempatan.

Kehadirannya dilihat tepat pada waktunya di kala kita ketandusan bakat yang bukan sahaja boleh menyanyi tetapi juga berkebolehan mencipta lagu sendiri.

Di awal kemunculannya, Yuna dilihat begitu sukar untuk memberikan kerjasama kepada pihak media selepas lagu Dan Sebenarnya meledak di corong radio.

Harus bekerja keras

Lantaran itu, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini dihambat kontroversi lalu dilabelkan dengan pelbagai panggilan negatif seperti sombong, bongkak, berlagak dan sebagainya.

"Saya harus akui memang ia adalah satu kesilapan kerana saya tiada pengalaman dalam bidang ini dan tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya.

"Baik saya mahupun pihak pengurusan saya semuanya masih mentah dalam selok-belok dunia seni.

"Saya belajar daripada kesilapan dan Alhamdulillah, kini saya cuba untuk mengatasi kelemahan itu. Saya percaya apa yang saya lalui sebelum ini merupakan satu proses pembelajaran dalam membentuk diri saya

"Cuma, tidak perlulah lagi mengungkit kisah lama itu selepas ini kerana semuanya dalam keadaan baik setakat ini," pintanya berkali-kali penuh jujur.

Setiap kali bertemu dengan Yuna, soalan itu pasti akan ditanyakan. Adakah dia masih lagi mempunyai masalah untuk berurusan dengan pihak media yang mahu mendapatkan kisah terbarunya.

Kata Yuna, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan jika hendak dibandingkan ketika di awal kemunculannya dulu, memang sudah banyak berubah.

Dia sedar, apabila sudah menjejakkan kaki ke arus muzik perdana, mahu atau tidak, dia harus berdepan dengan semua kemungkinan biarpun ada kalanya pahit untuk ditelan.

Memang sedari awal lagi, misinya hanya satu iaitu mahu memperjuangkan muziknya agar ia mampu dinikmati oleh semua pihak tanpa ada rasa prejudis.

"Saya berasa amat dihargai apabila muzik saya diterima dengan baik oleh masyarakat. Malah, pengiktirafan yang saya terima seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian membuktikan kehadiran saya diterima dengan baik.

"Kerana itu, saya harus bekerja keras untuk memberikan hasil kerja yang terbaik buat masyarakat. Saya ada pegangan dan prinsip saya sendiri dalam muzik.

"Semuanya adalah kerana kepuasan dan saya tahu saya tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Yang penting, saya perlu jujur dan ikhlas dalam perjuangan saya," kata Yuna bersungguh mempertahankan pendiriannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: