
LEBIH dua dekad lalu, Abdul Aziz Ismail, melukis dan menjual hasil karyanya di ruang kaki lima di tepi dinding Central Market. Beralaskan lantai, di situlah dia memerah kreativitinya bersama pelukis-pelukis lain pada tahun 1987.
Sememangnya manusia tidak memiliki anugerah meninjau nasib dan meramal masa depan. Abdul Aziz sendiri tidak menyangka bahawa hari ini, dia sudah mempunyai blok kedai sendiri di bangunan baru di belakang premis bersejarah itu.
Di ruang bangunan baru bernama Annexx itu, apa yang seniman ini tahu, dia akan terus berkarya di situ bagaikan entiti yang tidak boleh terpisah dengan bangunan ikonik tersebut.
Bagi lelaki yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan itu, Central Market atau dikenali juga dengan nama Pasar Seni merupakan tempat warisan yang membuka mata dan rezekinya. Di situlah, Abdul Aziz mula mengenal erti kepayahan hidup.

Kini berusia lebih separuh abad, Abdul Aziz yang merupakan antara peniaga terawal di lokasi itu mengakui terlalu banyak perubahan yang telah berlaku di sekitar kawasan tersebut.
“Dahulu, Pasar Seni menjadi tempat tumpuan pelombong bijih timah untuk mendapatkan barangan harian mereka kerana ia terletak bersebelahan Sungai Klang. Ia dikenali The Old Market yang dibina oleh kapitan Cina, Yap Ah Loy.
“Bagaimanapun, pentadbiran British pada masa itu ingin membina pasar baru yang dinamakan Central Market pada tahun 1888. Lalu mereka mengambil alih pasar itu dan membesarkannya menjadi 123.7 meter persegi panjang, 60.8 meter persegi luas dan 7.9 meter tinggi.
“Ketika itu, kawasan lantai dipasang dengan jubin konkrit manakala dinding hanya diliputi dengan kayu sementara atap menggunakan zink,” katanya.
Pasar basah itu memuatkan tiga bilik sejuk untuk menyimpan daging-daging beku yang terdiri daripada 170 buah gerai sayur-sayuran dan buah-buahan, 158 buah gerai ikan, 36 buah gerai daging lembu, 27 buah gerai babi dan 20 buah gerai ayam dan itik.
Abdul Aziz menjelaskan, hanya selepas hampir 100 tahun ditubuhkan iaitu pada tahun 1986, Central Market mula dikenali sebagai lokasi pameran, kebudayaan, khazanah dan warisan seni masyarakat Malaysia.
Ia tertumpu pada hasil kerja tangan Malaysia yang menjual pakaian dan barangan tradisional seperti batik, produk ukiran kayu, piuter, perak dan aloi.
“Ketika melukis di atas lantai bersama pelukis-pelukis lain dahulu, tidak ada langsung rasa privasi, kadangkala boleh berlaga bahu sesama pelukis lain disebabkan ruang niaga yang terhad,“ imbasnya yang pernah melukis di tempat yang sama bersama beberapa artis dan penyajak terkenal seperti kumpulan Kopratasa, Usop, Khalid Salleh dan Imuda.
Pelanggan tetap

Hasil lukisan yang dipamerkan juga ada sesetengahnya mengelirukan pembeli kerana ia digantung begitu dekat antara satu sama lain.
Namun, bagi Abdul Aziz dan kawan-kawannya, Pasar Seni diibaratkan satu-satunya tempat untuk golongan seperti mereka mencari sumber rezeki. Biarpun hanya meraih beberapa ringgit sehari, tetapi kepuasan yang terlihat pada wajah pembeli sudah memadai.
“Dulu memang agak susah nak dapat pelanggan. Mereka hanya datang melihat tetapi tidak membeli,” katanya yang telah mengembara melebarkan hasil seninya di merata negeri bersama Kementerian Pelancongan.
Rakan seangkatannya yang merupakan pengusaha batik dan kraf, Rozakir Abdul Rahman, 43, memberitahu bahawa dia tidak akan berniaga di tempat lain.
Menurutnya, di Central Market pelanggan tetap yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong asing sudah mengenali produknya. Mereka bukan hanya datang sekali untuk membeli.
“Ada sesetengah pelanggan saya yang datang ke Malaysia setiap tahun bagi mendapatkan produk batik terkini untuk dijadikan koleksi peribadi, cenderamata atau hadiah,” katanya mengenai pelanggan setianya dari Filipina, Denmark, Australia dan England.
Bicara lelaki yang berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang itu, ada juga pelancong asing yang datang ke kedainya untuk membeli secara borong.
Rozakir yang memiliki dua buah kedai iaitu batik dan kraf di Pasar Seni juga telah mengelilingi hampir seluruh dunia mengikut program Kementerian Pelancongan yang mempromosikan batik sejak tahun 1989.
Harapan lelaki itu hanya satu, pihak pengurusan Pasar Seni dapat mempromosikan secara meluas pusat warisan tersebut di mata dunia dan menjadikan tempat berkenaan sentiasa dekat di hati masyarakat Malaysia.
“Saya juga berharap agar generasi seterusnya dapat meneruskan perniagaan batik ini,” katanya yang menjual batik dari harga serendah RM10 sehingga RM2,500, manakala kraf pula dari harga serendah RM3 sehingga RM550.
Bagi Tuan Ismail Tuan Yaacob, 53, disebabkan ingin melebarkan perniagaan keluarganya, anak ketiga daripada 19 beradik itu sanggup merantau ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1980-an.
Mencari tapak yang paling sesuai untuk mempromosikan produk kraf keluarganya, Ismail akhirnya mendapat tempat di Pasar Seni pada tahun 1988.
Pusat seni
“Saya merupakan generasi ketiga yang meneruskan peniagaan kraf keluarga sejak tahun 1948. Sebelum ini, peniagaan keluarga hanya tertumpu di negeri asal saya, Kota Bharu, Kelantan,” katanya yang mempunyai kilang membuat kraf di Kelantan.
Menurutnya, pada masa itu Pasar Seni merupakan satu-satunya pusat mempromosi seni di Kuala Lumpur. Justeru, saya tidak melepaskan peluang membawa produk-produk kraf ke situ.
Antara yang dijual adalah ukiran kayu, tembaga, suasa, perak, barangan antik dan pelbagai lagi,” katanya yang kini mempunyai lapan buah kedai selama 22 tahun berniaga di Pasar Seni.
Sementara itu, menurut Timbalan Pengurus Kompleks dan juga merangkap Pengurus Kanan Pengiklanan dan Promosi, Central Market Sdn. Bhd., Mak Soon Peng, bukan mudah seseorang peniaga mendapat peluang bisnes di Pasar Seni. Hanya produk-produk berkualiti dan unik sahaja yang dipilih oleh pihak pengurusan.
“Sejak Central Market Sdn. Bhd. mengambil alih pengurusan Central Market daripada Melewar Leisure Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Melewar Berhad pada tahun 2004 banyak perubahan yang telah dilakukan. Tujuannya adalah untuk mempromosikan budaya, seni, kraf tangan dan batik Malaysia.
![]() |
| TUAN ISMAIL menunjukkan produk ukiran tembaga di kedainya yang dimulakan sejak tahun 1988. |
“Salah satu daripada perubahan tersebut adalah menubuhkan bangunan Annexx di belakang Pasar Seni yang dijadikan tempat para pelukis menjual hasil seni mereka.
“Selain itu, keadaan di dalam bangunan Pasar Seni sendiri bertukar wajah sepenuhnya. Kalau dulu, kedai-kedai kraf tangan mahupun barangan lain diletak secara berselerak tetapi kini mereka disusun mengikut jenis jualan,” kata Soon Peng.
Realitinya Pasar Seni sudah mengalami banyak transformasi. Sebaik sahaja melangkah kaki ke bangunan penuh bersejarah itu, anda akan ‘diperhatikan’ oleh 128 buah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasangkan di setiap sudut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: