SEKALIPUN sudah bergelar penerbit dan memiliki produksi sendiri, Diana Johor tetap memerlukan khidmat syarikat pengurusan artis.
YAKIN...Diana perlukan syarikat pengurusan demi karier dan keharmonian rumah tangganya.
Berwajah jelita dan bertubuh langsing, ia pakej lengkap seorang artis. Bagaimanapun, Diana atau Diana Johor Zainal Abidin, 28, aktif semula dalam seni kerana minat. Ditambah lagi, karier lakonannya bermula pada usia 14 tahun menerusi drama Mas Maria.
Namun demikian, bakat lakonan Diana menyerlah apabila dia dilamar Skop Productions Sdn Bhd untuk membintangi Sembilu. Tidak terkecuali, lakonannya dalam drama Astana Idaman juga membantunya membina nama di persada seni buat seketika. Kini, selepas pengajiannya dalam bidang ekonomi dan kewangan dari Universiti Curtin, Perth, Australia tamat dan mendirikan rumah tangga, Diana muncul kembali. Bersandarkan peluang yang ada, kali ini dia nekad bernaung di bawah Aquila Emas Sdn Bhd.
Diana berkata statusnya yang sudah berkeluarga memerlukan dia bijak mengurus kerjaya dan rumah tangga. Oleh itu, wajar baginya mengikat kontrak dengan syarikat pengurusan artis bagi memudahkan penyusunan jadual dan pelbagai aktiviti seninya.
“Rumah tangga saya dan suami (Ramelle Ashram Ramli, 32) baru mencecah usia satu setengah tahun. “Sekalipun suami tidak menghalang saya aktif dalam seni semula, tetapi pengurusan masa yang baik sangat penting. Justeru, harus bijak mengendalikannya.
“Selain berlakon, saya juga terbabit dengan penggambaran iklan. Justeru, saya mahu diuruskan dan memilih Aquila Emas kerana yakin dengan kewibawaan, Pengarah Urusannya, Syarizan Md Isa. Saya melihat nasib artis pun terbela,” katanya.
Menurut Diana, atas kepercayaan itu dia menandatangani kontrak selama dua tahun. Melihatkan pada keselesaan artis lain di bawah pengurusan Aquila Emas seperti Tony Eusoff, Zizan Nin dan Airis Yasmin membuatkan Diana tahu wujud keserasian antara syarikat dan artis.
Mengulas mengenai syarat diberikan suaminya yang juga anak kenamaan, Diana berkata Ramelle sangat memahaminya. Ujar wanita yang mempunyai kembar seiras ini, suami memberi sokongan kerana tahu minat mendalamnya pada lakonan.
Ditanya pula mengenai anak, Diana berkata buat masa ini rezeki belum berpihak kepada mereka. “Sekarang pun, kami masing-masing sibuk,” katanya.
Suami menguruskan perniagaan dan dia pula memberi tumpuan pada latihan teater muzikal Tun Mahathir.“Apapun, saya dan suami tidak merancang. Semuanya terserah pada ketentuan Allah s.w.t. Jika ada rezeki, kami terima dengan hati terbuka. Lagipun pasangan suami isteri mana yang tidak menginginkan anak dalam rumah tangga mereka.
“Cuma rezeki tiada. Bahkan, sekalipun sudah bergelar isteri, saya tidak pernah anggap ‘saham jatuh’ kerana peminat sekarang sudah boleh terima. Kalau dilihat pada industri hiburan Hollywood, perkahwinan bukan halangan kepada artis untuk berjaya.
“Lihat saja Angelina Jolie, walaupun sudah ada anak, tetapi dia tetap laris. Malah, filem lakonannya juga berjaya di pawagam. Dalam soal ini, saya tidak mengharapkan populariti semata-mata kerana mahu peminat yang menilai bakat,” katanya.
Diana berkata, dia bukan pelakon yang terdesak hendak popular. Kata pemilik produksi Unique Twins Sdn Bhd ini, sekarang glamor bukan perkara utama baginya. Apa yang penting, dia bertekad syarikatnya dapat menerbitkan banyak drama.Setakat ini, baru dua produk diterbitkan iaitu Hana Hani Coklat Strawberi untuk Astro dan Keras (TV3). Kata Diana, sepanjang Ramadan ini, dia terus sibuk dengan latihan teater. Oleh itu, apabila berbuka puasa dia senang memilih juadah yang ringkas.
Menurutnya, dia kurang makan nasi kerana lebih berselera menikmati bihun sup ketika berbuka. Malah, dia juga suka makan biskut makmur. Diana juga tidak mengamalkan diet, tetapi sekadar menjaga pemakanan untuk kesihatan yang baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: