KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang menaikkan bayaran kepada penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3.Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kenaikan itu wajar kerana bayaran RM1 disifatkan terlalu kecil bagi tugas itu apatah lagi untuk menarik lebih ramai pengundi baru untuk mendaftar.“Sebenarnya bayaran RM1 ini sudah lama kita laksanakan, tetapi ada yang mengatakan jumlah itu agak kecil. Oleh itu, SPR mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk menaikkan bayaran itu kepada RM3.
“Permohonan itu kita sudah kemukakan sejak 2009 lalu dan kini masih menunggu keputusannya. SPR berharap mudah-mudahan ia akan berjaya dan dapat merancakkan lagi pendaftaran pemilih baru.
“Sebenarnya, walaupun kita bayar RM1 sebelum ini, peruntukan yang digunakan untuk membayar tidaklah banyak kira-kira lebih RM200,000 setahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam akhbar melaporkan SPR berjanji akan membayar RM1 kepada penolong pendaftar bagi setiap pemilih baru yang didaftarkan dalam usaha menarik pengundi baru, terutama generasi muda.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya akan membayar penolong pendaftar daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat yang dilantik agensi itu bagi memperhebatkan kempennya.
Abdul Aziz berharap, sekiranya cadangan untuk menambah jumlah bayaran itu diluluskan kerajaan, beliau yakin pendaftaran pemilih baru yang sah akan terus meningkat.
Katanya, SPR juga sudah membuat keputusan untuk melantik dua orang penolong pendaftar bagi setiap parti politik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagai garis panduan kepada orang ramai untuk mendaftar sebagai pemilih.
“Sejak dua bulan kebelakangan ini pendaftaran pemilih baru di kalangan parti politik meningkat secara mendadak bagaikan ada satu persaingan. Tetapi kita nasihatkan, kalau DAP jangan daftar pengundi Cina saja, MIC jangan ahlinya saja begitu juga dengan UMNO. Daftar siapa saja yang layak.
“SPR juga bercadang untuk memperluaskan pelantikan penolong pendaftar bukan saja di kalangan parti politik, pejabat kerajaan mahupun NGO, tetapi kita ingin membuka ruang kepada mana-mana pihak atau kumpulan yang ditubuhkan secara sah,” katanya.
Abdul Aziz berkata, walaupun ada peningkatan jumlah pendaftaran dalam tempoh terdekat ini, namun angka terbabit masih belum memuaskan dan pihaknya akan meneruskan kempen secara agresif.
Mengikut rekod SPR, sehingga kini terdapat kira-kira 4.3 juta pengundi yang layak mengundi, tetapi masih belum mendaftar dengan SPR sejak Pilihan Raya Umum 2008, Mac lalu.
kasi lebih sikit, baru le org umno laju sikit cari orang daftar sebagai pengundi.
ReplyDelete