![]() |
| AZIZI (berdiri dua dari kiri) bersama-sama sebahagian artis yang terlibat dengan Skodeng Artis ketika ditemui di majlis pelancaran portal hiburan itu di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini. |
DUNIA hiburan tanah air semakin sensasi dan orang ramai sentiasa mahu mengikutinya menerusi pelbagai media seperti di akhbar, majalah, televisyen mahupun menerusi Internet.
Namun sebenarnya, mereka lebih banyak menghabiskan hari mereka bersama telefon bimbit dan ia merupakan medium terdekat untuk memperoleh maklumat.
Telefon bimbit kini bukan sahaja boleh digunakan untuk tujuan perbualan, malah ia merupakan sumber hiburan dan informasi maklumat terkini kepada pengguna.
Atas kesedaran itu, portal wap hiburan Skodeng Artis, merupakan jawapan terbaru bagi memenuhi permintaan peminat dunia hiburan tempatan.
Merupakan portal hiburan telefon bimbit yang pertama di Malaysia, Skodeng Artis menawarkan pelbagai informasi yang eksklusif mengenai artis-artis yang terlibat.
Ia menawarkan muat turun seperti gambar berwarna artis, nada dering suara artis, video artis dan banyak lagi dan boleh diperolehi menerusi telefon bimbit mereka pada bila-bila masa sahaja.
Selain daripada itu, portal ini juga merupakan sumber maklumat untuk berita terkini artis, blog serta jadual aktiviti artis.
Pengarah Urusan Skodeng Artis, Azizi Adnan berkata, idea untuk menghasilkan portal wap hiburan Skodeng Artis timbul kerana menyedari peminat dunia hiburan semakin agresif ingin mengambil tahu tentang artis.
"Menerusi Skodeng Artis, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat secara eksklusif tentang artis-artis terkenal yang terlibat.
"Pelbagai benda yang tidak boleh didapati di tempat lain ada di sini. Contohnya mungkin seperti suara nyanyian Jehan Miskin ataupun Yasmin Hani.
"Menariknya lagi, apa yang tidak dinaikkan oleh media lain, kami akan sediakan seperti aktiviti harian mereka, perasaan dan macam-macam lagi.
"Kandungan yang kami tawarkan di dalam portal ini bukan sesuatu yang anda boleh dapati di mana-mana.
"Oleh itu jangan lepaskan peluang ini untuk mendapatkan skop berita artis dan gambar eksklusif dan anda pasti teruja," ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Portal Wap Hiburan Skodeng Artis di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.
Artis-artis yang terlibat dengan Skodeng Artis ialah Shaheizy Sam, Fizz Fairuz, Jehan Miskin, Zizan Raja Lawak, Almy Nadia, Irma Hasmie, Juliana Evans, Tony Eusoff, Iqram Dinzly, Yasmin Hani, Wardina Saffiyah dan ramai lagi.
Ujar Fizz Fairuzz yang turut hadir di majlis pelancaran itu, dia amat teruja apabila dipilih sebagai antara barisan artis yang terawal yang terlibat dengan Skodeng Artis.
Bagi Fizz, usaha ini akan lebih mendekatkan dia dengan para peminat kerana peminat dapat mengetahui karakternya yang sebenar menerusi portal ini.
"Ia juga boleh dianggap sebagai salah satu cara buat kami untuk mempromosikan diri kami supaya peminat lebih mengenali kami secara dekat dan cara yang betul.
"Saya tidak rasa usaha Skodeng Artis ini mengganggu hidup peribadi kami kerana ia menonjolkan diri kami yang sebenar, bukanlah gosip.
"Lagipun pada pendapat saya, tidak perlulah menjadi artis jika tidak mahu kehidupan peribadi diambil tahu peminat," ujar pelakon Nur Kasih itu.

bengong
ReplyDelete