
HARUS diakui, suku tahun pertama 2010 umpama tahun kebangkitan selebriti terkenal Ziana Zain. Jika sepanjang tahun lalu Ziana hampir tidak muncul dalam sebarang media kerana memberi fokus terhadap kehidupan peribadi terutama sewaktu mengandung, nampaknya tahun ini, Ziana muncul dengan pelbagai agenda.
Jika bulan lalu dia baru sahaja menolong Mohd. Izwan Mohd. Nor, atau Mohd. untuk muncul juara program realiti televisyen, Mentor, bulan ini lain pula kisahnya.
Memang bukan satu hal yang asing bagi dirinya diangkat sebagai duta atau jurucakap sesuatu produk tempatan dan antarabangsa termasuk sebagai duta jam tangan Omega dan Slim World, lamaran menjadi duta terbaru produk penjagaan diri, Antabax kali ini dianggap Ziana sebagai rezeki buat anak kembarnya yang kini berusia satu tahun, Muhammad Arrel Armin dan Siti Noor Kaseh.
Ziana yang mempunyai dua orang anak lagi bernama Muhammad Aiman, 10, dan Muhammad Ammar Amin, 7, ditawarkan menjadi duta kepada produk tersebut selepas kira-kira dua tahun menggunakannya.
Ternyata, bukan sembarangan Ziana yang hadir bersama suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin pada majlis pengumuman tersebut berlangsung di 1 Utama, Damansara, Selangor, memberi kata setuju. Sebagai pengguna, dia terlebih dahulu mahu merasakan impak positif produk tersebut.
"Saya sentiasa memantau perbelanjaan rumah serta produk yang kami beli kerana sejak kecil saya diajar supaya berjimat dan berhati-hati.
![]() |
| PESONA, karisma dan penampilan Ziana Zain yang terserlah di mata umum antara faktor Ziana sering terpilih sebagai duta produk. |
"Pemilihan produk ini kerana banyak manfaat dan nilai berbanding produk antibakteria lain," katanya yang turut memberitahu selain harus dipercayai, sesuatu produk yang digunakan perlu mempunyai jaminan kualiti yang baik buatnya satu keluarga.
Tambahnya, antara faktor yang membuatkan dia memilih Antabax kerana produk itu halal dan mendapat akreditasi dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Sebagai seorang yang beragama Islam dan seorang pengguna yang prihatin, saya sentiasa mencari dan menggunakan produk halal kerana ia memberikan ketenangan dan keyakinan," ujarnya.
Menurut Pengurus pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Carmen Foo, pihaknya berbangga memperkenalkan duta produknya, Ziana Zain.
Katanya, Ziana mewakili sebahagian daripada pengguna utama kami di kalangan wanita dan lelaki yang arif terhadap produk yang mereka perlukan.
"Apa yang mereka perlukan seperti, pentingkan penjagaan kesihatan serta kebahagiaan keluarga dan diri mereka, memberi fokus terhadap kualiti.
"Antara lainnya ialah manfaat yang dapat diraih dari pada produk serta apa yang lebih utama ialah perlindungan ke atas keluarga daripada jangkitan kuman," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: