Wednesday, August 4, 2010

Rahsia jamu gendong


Para peserta Seminar Amalan Makan Jamu dan Cara Penyediaan Jamu Gendong dari Malaysia mencuba jamu yang disediakan oleh salah seorang pekerja Ibu Lugu Murni.


Dalam soal kecantikan, sebahagian besar wanita bersedia melakukan apa sahaja demi memastikan diri kelihatan anggun dan berseri.

Ini termasuk pengambilan jamu, kaedah tradisional yang diamalkan sejak turun-temurun di kalangan masyarakat Nusantara untuk merawat kecantikan dari dalam tubuh.

Di negara jiran Indonesia, pengambilan jamu merupakan amalan biasa di kalangan penduduknya khususnya wanita.

Antara yang popular di sana ialah Jamu Gendong yang digemari oleh setiap lapisan masyarakat daripada golongan atasan hingga kepada masyarakat biasa.

Bertujuan mengenali lebih dekat mengenai Jamu Gendong, Persatuan Usahawan Wanita (Usahanita) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama rakan dari Indonesia, Astad Adleenz telah menganjurkan seminar mengenai amalan makan jamu dan cara penyediaan Jamu Gendong di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama empat hari ini itu juga turut memberi pendedahan tentang cara pemakanan jamu yang betul.

Dalam seminar tersebut, peserta juga diajar bagaimana membuat jamu dengan betul bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Menurut pengasas jamu jawa tradisonal, Lugu Murni, pengambilan jamu di kalangan masyarakat Indonesia diamalkan sejak kecil sehingga mereka meningkat dewasa.

''Lebih mengujakan bukan wanita yang bersalin sahaja makan jamu, malah bayi turut diberikan jamu yang dihasilkan bersesuaian dengan usia mereka,'' ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai situasi itu, beliau menjelaskan, pengambilan jamu kurang popular di Malaysia kerana sebahagian masyarakat negara ini mengambil sikap sambil lewa soal kesihatan dalaman badan.

''Secara umumnya, jamu ialah penawar tradisional dari Indonesia yang diperkaya dengan campuran pelbagai jenis herba.

''Ia diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi khususnya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat tersendiri antaranya akar-akar pokok, daun, kulit, batang dan buah," katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam pembuatan jamu.

Bercerita tentang Jamu Gendong yang begitu popular di kalangan masyarakat Indonesia, kata Lugu, ia dipanggil Jamu Gendong kerana si penjualnya akan mengendong (dukung) bahan-bahan jualannya dengan mengikatnya menggunakan kain batik.

Penjualnya kebiasaan adalah kaum ibu yang akan berjalan memasuki kawasan-kawasan perumahan atau di sekitar kampung sambil tangan memegang bakul yang berisi air dan gelas.

Namun dengan adanya pelbagai kemudahan moden pada hari ini semakin ramai yang menjual jamu ini menggunakan motor atau kereta roda.

"Walaupun cara jualannya sudah banyak berubah khasiat jamu masih tetap sama.

"Jamu Gendong ini sebenarnya mempunyai 1,001 khasiat untuk tubuh badan.

''Sebagai contoh jamu beras kencur (cekur) membantu memudahkan kelancaran darah, menghilangkan keletihan serta menambahkan daya tahan tubuh badan agar sihat dan segar,'' terangnya bersungguh.

Terangnya lagi, beras kencur mempunyai perisa yang manis kerana diadun menggunakan asam jawa, gula merah dan air.

Selain beras kencur, jenis Jamu Gendong lain seperti kunyit asem, sinom, cabe puyang, pahitan, kunci suruh, kudu laos, dan uyup-uyup.

Setiap jenis jamu tersebut mempunyai khasiat tersendiri bergantung kepada bahan-bahan herba yang digunakan.

"Bagi wanita yang mempunyai masalah keputihan mereka disaran mengambil jamu kunci suruh.

''Biarpun rasanya amat pahit namun ia mampu memberikan kelegaan selepas diminum.

''Bagi masalah jerawat pula ekstrak daun senduk, hempedu bumi, pegaga, kunyit dan temulawak mampu membantu mencegah dan mengubatinya. Pada masa yang sama ia menyembuhkan parut-parut jerawat,'' ujarnya lagi.

Menurut Lugu lagi , sebahagian wanita yang mengalami rasa ngilu, perut memulas dan senggugut semasa haid, jamu yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan seperti Kudus Laos.

Ceritanya lagi, dalam menghasilkan jamu, semua bahan mestilah mempunyai kesegaran bagi memastikan kualiti terjamin.

''Ada dua cara membuat Jamu Gendong iaitu direbus atau ditumbuk menggunakan lesung kemudian bahan tadi diperah, manakala pati perahan dicampur dengan air suam,'' ujarnya.

Bagaimanapun nenek yang berusia 86 tahun itu menjelaskan kesemua bahan-bahan tersebut di tumbuk menggunakan lesung dan tidak menggunakan mesin bagi memastikan keaslian bahan-bahan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment