Sunday, August 29, 2010

Pulau Moreton penuh tarikan

MEMBERI makan ikan lumba-lumba jinak biasa kita dengar atau lihat. Bagaimana pula jika memberi makan ikan lumba-lumba liar? Itulah pengalaman yang penulis lalui ketika berada di pusat peranginan Tangalooma, Pulau Moreton, Australia, baru-baru ini.

MEMUKAU..melihat ikan paus depan mata.
MEMUKAU..melihat ikan paus depan mata.

LUNCUR..penulis melakukan aktiviti gelungsur pasir. LUNCUR..penulis melakukan aktiviti gelungsur pasir. MENCABAR...quad bike antara aktiviti yang mendebarkan. MENCABAR...quad bike antara aktiviti yang mendebarkan. SANTAI...pelancong berehat di sebuah restoran di pulau itu sambil menikmati pemandangan indah. SANTAI...pelancong berehat di sebuah restoran di pulau itu sambil menikmati pemandangan indah. USANG...bangkai kapal yang kini menjadi tumpuan pelancong menyelam sambil melihat pelbagai jenis ikan. USANG...bangkai kapal yang kini menjadi tumpuan pelancong menyelam sambil melihat pelbagai jenis ikan. SERONOK...beri makan ikan lumba-lumba liar pengalaman  menyeronokkan. SERONOK...beri makan ikan lumba-lumba liar pengalaman menyeronokkan.

MENCABAR...quad bike antara aktiviti yang mendebarkan.


Penulis bersama selebriti Chef Wan, rakan media daripada TV9 dan The Star antara ratusan pelancong perlu mendaftar nama dan beratur menunggu giliran untuk memberi makan ikan lumba-lumba yang mempunyai nama masing-masing seperti Echo, Storm, Bobo, Rani dan Nari. Kedatangan ikan itu dicatat di papan kehadiran berhampiran jeti itu setiap hari.

Pelancong disediakan anak ikan dalam baldi untuk diberikan kepada ikan lumba-lumba yang berlegar berhampiran jeti. Walaupun liar tidak pernah berlaku peristiwa pelancong dicederakan ikan berkenaan.


Sebelum melakukan aktiviti itu, pelancong diberi penera­ngan cara-cara untuk memberi makan dan mereka juga tidak dibenarkan memegang haiwan itu bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. Gambar boleh dirakamkan tetapi dilarang menggunakan flash. Mudah saja, pelancong hanya perlu memasukkan tangan yang memegang ikan ke dalam air dan sekali gus diragut oleh ikan lumba-lumba berkenaan.

Jika tidak mahu melakukan aktiviti itu pelancong boleh melihat gelagat pelancong memberi makan ikan berkenaan dari atas jeti. Ia seperti pesta di pusat peranginan itu setiap hari menjelang jam 6 petang. Kawasan sekitar jeti diterangi lampu limpah bagi membolehkan pelancong melihat dengan jelas ikan lumba-lumba itu. Walaupun perlu menunggu giliran dalam waktu sejuk ia aktiviti menyeronokkan.

Selain itu, penulis juga tidak melepaskan peluang bermain gelungsur pasir seolah-olah berada di padang pasir sebenar. Sebab itu pulau Moreton dikenali sebagai pulau pasir kerana ia dikelilingi pasir bukannya batu seperti pulau lain.

Untuk ke kawasan bermain gelungsur ini, penulis perlu menaiki bas dengan perjalanan mengambil masa 10 minit tetapi ia mencabar kerana melalui jalan berbukit yang sempit dan berpasir. Pelancong juga diwajibkan memakai tali pinggang keledar bagi menjamin keselamatan.

Sebaik sampai di kawasan berkenaan, pelancong diberikan taklimat cara untuk melakukan gelungsur menggunakan papan yang telah disediakan. Ia nampak mudah tetapi tersilap teknik boleh tergolek atau termakan pasir. Lucu apabila melihat pelancong yang gagal melakukan gelungsur itu apatah lagi yang termakan pasir.

Untuk melakukan aktiviti itu, kita perlu mendaki bukit. Penulis mengambil masa untuk mendaki kerana sukar berikutan berjalan dalam pasir. Bagaimanapun, kerana keinginan tinggi untuk melakukan aktiviti itu berjaya juga sampai ke puncak dan ia amat menyeronokkan. Walaupun mahu melakukannya lagi tetapi tidak larat untuk mendaki bukit buat kali kedua.

Penulis juga sempat bermain quad bike (motosikal empat roda) melalui kawasan berbukit dan pantai. Aktiviti ini juga menyeronokkan walaupun rombongan kami cemas seketika selepas Chef Wan terjatuh daripada kenderaannya di satu kawasan curam. Dia terhincut seketika tetapi selepas dirawat dia kembali menunggang motosikal berkenaan.

Aktiviti seterusnya ialah melihat ikan paus di laut dalam. Ia mengambil masa tiga jam untuk menyaksikan ikan itu termasuk perjalanan dari pusat peranginan terbabit. Kami berebut-rebut merakamkan gambar apabila melihat paus muncul di perairan. Ada juga pelancong yang mabuk laut muntah dan tidur saja dalam feri. Aktiviti melihat paus bergantung kepada cuaca. Jika cuaca buruk ia dibatalkan bagi menjamin keselamatan pelancong.

Inilah yang membezakan pulau pasir ketiga terbesar di dunia sepanjang 38 kilometer dan 16 kilometer lebar ini berbanding pulau lain kerana aktiviti yang disajikan lain daripada yang lain. Jika malas melakukan aktiviti berkenaan, pelancong boleh bersantai menikmati panorama indah di pusat peranginan itu.

Untuk ke Tangalooma, pelancong perlu ke jeti iaitu kira-kira 10 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane dan 75 minit perjalanan menaiki feri ke Pulau Moreton.

Banyak pakej menarik disediakan bagi memudahkan pelancong ke pusat peranginan ini dan hanya perlu melayari internet atau menghubungi agensi pelanco­ngan yang menawarkan pakej berkenaan.

Aktiviti di Tangalooma yang ditaja Australia Tourism ini boleh ditonton menerusi rancangan Ekspedisi Chef Wan Bersama TV9 setiap Ahad jam 7 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: