Saturday, August 28, 2010

"Project Sunshine" Perjuangkan Nasib Pelajar

Pengerusi Yayasan SP Setia, Tan Sri Lee Lam Thye bersama kanak-kanak yang membuat persembahan semasa pelancaran Project Sunshine.

PROGRAM komuniti, Project Sunshine, kembali dengan musim kedua untuk membantu sekolah rendah kebangsaan dan vernakular bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada rakyat Malaysia yang murah hati.

Program dalam Bahasa Mandarin ini mempunyai 13 episod dan bakal bersiaran di ntv7, setiap Sabtu, pukul 1.30 tengahari, mulai 4 September 2010 selama 30 minit.

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata, objektif rancangan itu adalah untuk membantu sekolah-sekolah, terutamanya sekolah rendah, dalam menawarkan penyelesaian melalui pemberian dana pendidikan yang ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan S P Setia.

Tiang Kah Chee

Rancangan ini akan dihoskan sekali lagi oleh Tiang Kah Chee.

Musim kedua ini diberi nafas baru dengan memuatkan sesi temuramah pelajar bersama Kah Chee mengenai masalah yang dihadapi di sekolah.

Dirakamkan dalam bentuk penceritaan, setiap episod mendedahkan masalah yang timbul akibat kekurangan dana dari kaca mata murid sekolah.

Setiap episod akan mengupas tiga isu utama, di mana tiga pelajar sekolah rendah dari latar belakang berbeza meluahkan masalah mereka, sekolah serta keluarga.

Antaranya berasal dari keluarga ibu bapa tunggal yang miskin, pelajar kurang upaya atau mereka yang mempunyai ibu-bapa kurang upaya.

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul

Airin berkata, ntv7 mempunyai program kemasyarakatan yang unggul seperti Talian Hayat, Finding Angels, Edisi Siasat dan Siasat Mandarin, serta program pendidikan seperti Mandarin Battlestar, yang mendapat tempat di hati penonton setia.

Katanya, melalui rancangan komuniti tersebut, pihaknya berjaya menghulurkan bantuan kepada ratusan keluarga yang menghadapi pelbagai kesusahan dan keperitan hidup.

“Oleh itu, Project Sunshine merupakan rancangan yang amat bermakna bagi kami kerana kami dapat berbakti kepada masyarakat menerusi saluran pendidikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: