Tuesday, August 10, 2010

Positif dadah

KUALA LUMPUR: Seorang saksi iaitu anggota polis berpangkat sarjan memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, semalam, ujian saringan air kencing penyanyi kumpulan Spring yang terkenal sekitar tahun 90-an, Ameng disahkan positif dadah oleh Makmal Dadah dan Penyelidikan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

BICARA...Ameng  ditemani isteri dan anak tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
BICARA...Ameng ditemani isteri dan anak tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
Saksi pertama pendakwaan, Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Sarjan Halimi Jarkazi, 47, berkata botol yang mengandungi air kencing Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail adalah milik tertuduh berikutan tertuduh sendiri menandatangani label dilekatkan di atas botol yang tertera nama dan nombor kad pengenalan miliknya.


“Polis menggunakan botol plastik untuk mengambil air kencing tertuduh yang mana ketika diserahkan kepada saya ia sudah dilabelkan dengan nama dan nombor kad pengenalan tertuduh. Botol itu juga sudah dicop dengan cop rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya. Halimi berkata, ketika dia menyimpan botol itu dalam almari besi, tiada orang lain dapat mengakses almari berkenaan kecuali dirinya. “Tiada sesiapa boleh buka peti itu kecuali saya seorang,” katanya ketika soalan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias. Sebelum ini Ameng yang hadir ke mahkamah ditemani isteri dan anak lelakinya, didakwa memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 3.45 petang, 2 April lalu.


Penyanyi yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.


Perbicaraan di hadapan Majistret Zaki ASyraf Zubir bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: