Friday, August 27, 2010

PM kecewa serangan Bendera


KERATAN Kosmo! semalam.


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewa dengan tindakan penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melempar najis manusia ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, Perdana Menteri menyatakan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam setelah beliau memberi penjelasan tentang apa yang berlaku di Jakarta.

"Sudah tentu beliau amat kecewa. Perdana Menteri berpendapat adalah salah bagi mereka bertindak sedemikian.

"Namun beliau mempunyai keyakinan dengan pihak berkuasa Indonesia. Beliau (Perdana Menteri) yakin terhadap Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) bahawa perkara ini akan diselesaikan," katanya.

Anifah menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di sini semalam.

Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan daripada kumpulan Bendera dipercayai bertindak sedemikian bagi menunjukkan kemarahan terhadap Malaysia terutama berhubung penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia (KKP) yang didakwa menceroboh perairan Malaysia baru-baru ini.

Anifah memberitahu, mesyuarat Kabinet semalam sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelak kejadian yang sama di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: