Sunday, August 29, 2010

PM Australia pikat wakil bebas




SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard (gambar) semalam memujuk seorang daripada lima wakil rakyat bebas bagi memecah kebuntuan majoriti berikutan prestasi hambarnya pada pilihan raya umum minggu lalu.

Gillard mengadakan beberapa pertemuan peribadi dengan Andrew Wilkie yang merupakan seorang bekas askar, bagi memancing sokongan wakil berkenaan untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau yang menerajui Parti Buruh dan saingannya dari Konservatif, Tony Abbott gagal memperoleh majoriti pada pilihan raya lalu yang menyebabkan Parlimen Australia tergantung untuk kali pertama dalam tempoh 70 tahun.

Kedua-dua pemimpin itu terdesak untuk melakukan tawar menawar dengan Wilkie dan wakil rakyat Parti Hijau, Adam Bandt selain tiga wakil rakyat pedalaman iaitu Tony Windsor, Rob Oakeshott dan Bob Katter bagi memastikan masing-masing memperoleh 76 kerusi yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan campuran.

Parti Konservatif memenangi 73 kerusi berbanding 72 kerusi yang diperoleh Buruh pada pilihan raya itu. Wanita itu dijangka berdepan kesukaran berikutan tinjauan menunjukkan majoriti rakyat mengundi tiga wakil pedalaman itu supaya menyokong Abbott.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: