
BANYAK laporan mengenai hasil kajian palsu dan isu kebebasan akademik yang terhad mungkin menyebabkan China tidak diklasifikasikan sebagai negara yang mempunyai universiti bertaraf antarabangsa.
Namun, reputasi dan kedudukan sebuah universiti di Shanghai telah mencemaskan menteri-menteri pendidikan di Eropah.
Buktinya, Menteri Pendidikan Tinggi Perancis telah melawat ke kampus pinggir bandar, Universiti Jiao Tong bulan lalu untuk membincangkan mengenai penarafan tersebut.
Tahun lalu, Menteri Pendidikan Norway juga telah melakukan perkara yang serupa manakala Menteri Pendidikan Denmark dijangka membuat kunjungan pada bulan depan.
Kedudukan itu juga telah menjadi sebab berpuluh-puluh presiden universiti lain mengadakan lawatan ke institusi pendidikan terbabit.
"Kami percaya, penarafan tersebut akan menarik minat universiti terkenal dan cendekiawan dari seluruh dunia, tetapi kami tidak pernah membayangkan ia mempunyai pengaruh yang besar," kata Pengarah Eksekutif Pusat Jiao Tong bagi Universiti-Universiti Bertaraf Dunia, Ying Cheng.
Pusat tersebut telah menghimpunkan koleksi tahunan Penarafan Akademik Universiti-Universiti Dunia sejak tahun 2003. Ia merupakan satu senarai yang menjadi rujukan kecemerlangan 500 institusi pengajian terbaik di dunia.
Pemilihan itu dibuat menggunakan kriteria seperti jumlah Hadiah Nobel dan anugerah pencapaian yang dimenangi kakitangan dan alumni, jumlah penyelidikan tertinggi oleh kakitangan dan jumlah artikel oleh kakitangan yang tersiar dalam majalah Nature & Science.
Penyenaraian itu turut memfokus pada pencapaian dalam penyelidikan saintifik dan tidak meliputi ilmu kemanusiaan.
Selama tujuh tahun, Universiti Harvard telah mengungguli tinjauan itu. Tahun lalu Universiti Stanford menduduki tangga kedua dan Universiti of California, Berkeley berada pada kedudukan ketiga.
![]() |
| UNIVERSITI HARVARD mendahului senarai institusi cemerlang selama tujuh tahun. |
Satu-satunya sekolah bukan Amerika Syarikat (AS) yang menduduki kelompok sepuluh terbaik tahun lalu ialah Universiti of Cambridge dan saingannya, Universiti Oxford yang menduduki tempat kesepuluh.
Idea penarafan itu bermula pada tahun 1998 apabila Beijing mendapati negaranya memerlukan beberapa universiti bertaraf dunia.
Antara lain, penarafan tersebut menyasarkan kriteria khusus termasuk sebab sesebuah universiti itu bertaraf dunia dan langkah para cendekiawan China menyusun perancangan akademik di peringkat global.
Inisiatif yang dibuat oleh pusat tersebut merupakan yang pertama seumpamanya. Namun, setahun kemudian The Times Higher Education Supplement (THES) dari Britain pula mengikut jejak langkah China dan menyiarkan senarai universiti bertaraf dunia pilihan mereka.
Perdebatan
Bagaimanapun, di luar China berlaku banyak perdebatan mengenai penarafan yang ditetapkan itu.
"Universiti-universiti di China tidak dinilai sebaik yang diharapkan. Jadi, mereka tidak berhak untuk memperkatakan mengenainya," kata Ying.
Di Perancis, senarai penarafan Pusat Jiao Tong mencetuskan banyak penerbitan artikel yang mengkritik pencapaian buruk universiti di negara Komunis tersebut.
Di Rom pula, kegagalan menduduki kelompok 100 terbaik memang menghampakan rakyatnya, manakala Sepanyol bukan sahaja berpuas hati malah meraikan pencapaian universiti mereka yang berada dalam kelompok 200 institusi pengajian tinggi terbaik.
Perkara ini dijelaskan oleh Michaela Saisana yang menganalisis metodologi penarafan untuk Suruhanjaya Eropah.
"Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol merupakan negara-negara yang paling tersentak dengan penarafan universiti itu," ujar Saisana.
![]() |
| LALUAN masuk ke perpustakaan Universiti Jiao Tong yang menyimpan senarai penarafan universiti terbaik dunia. |
Namun, Saisana mempertikaikan bahawa penarafan yang dibuat di Shanghai tidak boleh menjadi tanda aras universal kerana mereka gagal untuk menilai kekuatan spesifik atau misi universiti-universiti utama dunia.
"Mereka boleh menjelaskan pencapaian China yang menghampiri negara seperti Eropah atau AS, dan bukannya membandingkan antara universiti," tegasnya.
Perancis dilihat berminat untuk memperbaiki pencapaian mereka dalam penarafan Jiao Tong apabila melabur sebanyak lima juta euro (RM20.3 juta) dalam operasi kampus dalam projek pusat penyelidikan terbesar.
"Menteri Pendidikan Tinggi Perancis, Valerie Pecresse telah melawat Jiao Tong bulan lalu untuk mempromosi kempen kampus dan melobi universiti di negaranya," beritahu Ying.
Pada tahun 2009, Universiti Pierre dan Marie Curie mencatat pencapaian tertinggi negara itu pada kedudukan ke-40.
Tambah Ying, kriteria yang ditetapkan itu antara lain menggalakkan pertukaran budaya antara universiti.
"Universiti saya ialah contoh terbaik. Pada mulanya, kebanyakan profesor mengatakan: 'Mustahil untuk penyelidikan kami tersiar dalam jurnal antarabangsa. Tetapi, kini lihat sahaja pencapaian kami.
Pada tahun 1998, Jiao Tong menyiarkan 130 penyelidikan dalam jurnal ternama setiap tahun. Kini, setiap fakulti dan penyelidik menghasilkan lebih daripada 3,000 penyelidikan setahun.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: