![]() |
| Sebahagian baju batik yang dipamerkan pada Majlis Peragaan Fesyen dan Aksesori Aidilfitri di Karyaneka, Kuala Lumpur baru-baru ini. |
Tidak lengkap rasanya berhari raya tanpa memakai pakaian serba baru. Biarpun sepasang namun ia mampu memberikan keceriaan di Aidilfitri.
Apa kata pada kali ini seisi keluarga memakai pakaian kraf tekstil Malaysia. Pakailah kain tenunan, batik atau songket pada Hari Raya Aidilfitri agar tampak lebih berseri.
Selain tampak cantik, ia juga mampu mempertingkatkan industri kraf tekstil negara ini.
Ia akan dapat menyemai dan mewujudkan minat serta menggalakkan pembelian dan pemakaian kraf tekstil negara.
Baru-baru ini bersempena dengan sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka) telah mengadakan Majlis Peragaan Fesyen dan Aksesori Aidilfitri.
Majlis yang julung kali diadakan itu disaksikan oleh isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan,Datin Seri Masnah Rais.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali dan Pengarah Urusan Karyaneka, Zuraidah Abdul Razak.
Majlis peragaan pada hari itu menampilkan lebih 40 pasangan kraf tekstil terkenal Malaysia dengan warna-warna menarik dari batik, tenun dan songket.
Selain baju kurung, kasual dan pakaian kaftan, turut diperagakan adalah kebaya nyonya.
Turut dipertunjukkan ialah aksesori dan tas tangan yang diperbuat daripada, songket, mengkuang dan pandan.
Selain menggalakkan masyarakat Malaysia mengindahkan sambutan dan perayaan kali ini dengan menggunakan songket, batik mahupun kain tenunan serta sulaman, ia juga bertujuan membudayakan masyarakat di negara ini menggunakan kraf tempatan.
Terdapat juga pakaian untuk kanak-kanak bersalut indah ragam hias labuci dan manik sebagai penyeri.
Harga promosi ditawarkan sempena Promosi Koleksi Hari Raya Aidilfitri anjuran Karyaneka di semua 11 cawangan butik-butiknya bermula 6 Ogos hingga 9 September 2010 bermula dari pukul 9 pagi hingga pukul 8 malam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: