![]() |
| PIHAK produksi dan kakitangan RTM 1 bergambar sempena pelancaran Inspirasi Ramadan baru-baru ini. |
BAGAI menjadi satu tradisi, ketibaan Ramadan akan dimeriahkan dengan pelbagai program. Antaranya program Inspirasi Ramadan yang bakal memaparkan cara hidup serta ragam rakyat Malaysia ketika di bulan Ramadan serta kemeriahan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dihasilkan dalam bentuk dokumentari, produk terbitan Metrowealth itu meletakkan sasaran utama pada penonton wanita yang berumur 25 tahun hingga 45 tahun.
Menurut Penerbit Eksekutif, Syed Alman Zain, kemeriahan persiapan dan ragam masyarakat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri juga turut ditonjolkan dalam dokumentari dengan durasi 30 minit itu.
Katanya, program yang dihoskan oleh Nurulhidayah Ahmad Zahid itu akan mula disiarkan pukul 3.30 petang bermula 23 Ogos ini setiap hari Isnin hingga Khamis di RTM 1.
“Program ini bukan sahaja akan memberi gambaran mengenai cara hidup masyarakat setempat, malah turut merangkumi penggambaran di beberapa tempat bersejarah serta keunikan etnik yang berbilang kaum.
“Sesuai dengan bulan Ramadan, program ini juga turut memberi peluang kepada penonton untuk mempelajari serta mengetahui mengenai pembuatan makanan dan juga pembuatan kuih muih tradisional,” katanya ketika ditemui di MIG Lemon, Kajang, Selangor baru baru ini.
Tambahnya, program 13 episod itu telah memilih beberapa lokasi seperti Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak sebagai menampilkan variasi persiapan serta makanan yang terdapat di negeri-negeri tersebut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: