
“LOMPAT adik jangan tak lompat,” ujar sebilangan kakitangan syarikat Colgate dan Palmolive kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang ligat bermain teng-teng.
Meskipun ada yang tergelincir kerana tidak dapat menahan imbangan kaki namun, tidak timbul riak kesedihan di wajah mereka.
Hanya lontaran tersipu-sipu malu disajikan. Bahkan, mereka tetap bersemangat menamatkan permainan tradisional tersebut.
Di satu sudut berbeza, rakan mereka yang lain sedang sibuk memukul kompang dan gendang. Walaupun bunyi yang dialunkan kedengaran sumbang tetapi mereka tetap bergembira dan bersahaja meneruskan paluan tersebut.
Bingkisan telatah itu dipertontonkan oleh 100 anak yatim yang dirai dalam satu Program Beramal Bersama Colgate di Perkampungan Budaya, Taman Pertanian, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Program itu mengangkat tema Rumah Ceria Colgate yang mengetengahkan elemen budaya masyarakat kampung.
Menurut penghuni rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam daerah Segamat, Johor (Pkayis) Mariana Mohammed, aktiviti demikian dapat menjamin kesinambungan tradisi gaya hidup nenek moyang kita.
“Selain berseronok dapat juga menyihatkan badan dan minda malah, secara tidak langsung mampu merapatkan hubungan silaturahim antara kami.
“Jika bukan kita siapa yang lagi hendak memelihara warisan tersebut. Lagipun bukan susah bermain teng-teng, hanya perlu menjaga imbangan kaki sahaja,” katanya sambil tersengih-sengih.

Ujar kanak-kanak berumur 11 tahun itu, dia mula menghuni Pkayis sejak dua bulan yang lalu setelah kematian ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta.
Ibunya, Sharulazian Jamil yang berumur dalam pertengahan 30-an tidak mampu menanggung kehidupan mereka lima anak-beranak dengan hanya mengambil upah di gerai sate.
“Upah yang ibu dapat pun tidak banyak, jadi saya tidak salahkannya meskipun menghantar saya dan abang ke rumah kebajikan ini.
“Cuma saya harap, pada hari raya ini kami sekeluarga dapat berkumpul semula. Dapat juga terubat rindu,” katanya dengan nada sedih.
Impian pada hari muka
Perasaan menjadi seorang anak yatim semestinya sukar diungkapkan secara telus bagi mereka yang tidak merasainya.
Namun begitu pastinya setiap dugaan yang melanda sedikit sebanyak akan mengajar kita untuk lebih kental dan bersemangat asal berpaksikan ajaran agama.
“Jika asyik bersedih pun tiada gunanya kerana setiap yang bernyawa pastinya akan pergi. Yang penting doakan mereka sejahtera di sana,” terang penghuni Rumah Tunas Harapan Semai Bakti Bandar Jengka, Pahang, Muhammad Kaipul Shazwan Shafie, 14.
Remaja yang meminati gaya permainan bola sepak Lionel Messi ini berasa syukur kerana mempunyai ramai rakan di asrama tersebut di samping berkongsi kasih sayang daripada warden mereka yang dipanggil Ummi Yus.

Shazwan menjelaskan walaupun berada di rumah kebajikan tersebut namun, dia mengimpikan satu kehidupan yang cemerlang pada masa depan.
“Proses pembelajaran berlaku di mana-mana sahaja. Asalkan kita mempunyai semangat yang kuat dan tidak menyerah kalah pada nasib semestinya impian akan tercapai.
“Lagipun saya bercita-cita ingin menjadi seorang kontraktor bagi membina sebuah rumah kebajikan yang menarik seni rekanya,” jelasnya yang kehilangan ibu bapanya sejak lahir lagi.
Pandangan tersebut juga disokong oleh Mohd. Affis Abd. Khalib, 14. Mula menghuni rumah kebajikan Pkayis sejak dua bulan lalu, dia tidak pernah melupakan pesan neneknya agar tekun mendalami ilmu.
Yakin diri
Jelas Mohd. Affis, perasaan merendah diri seharus disingkirkan sebaliknya diganti dengan keyakinan yang tinggi dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar dapat bersaing dengan orang lain.
“Setiap individu dianugerahkan kebijaksanaan masing-masing. Kita juga berhak untuk berjuang mendapatkan apa yang dimahukan dalam hidup. Bagi saya dimana ada kemahuan di situ ada jalannya,” kata Mohd. Affis yang bercita-cita menjadi seorang guru Bahasa Melayu.
Kempen amal sempena Ramadan yang memasuki tahun ketiga itu berlangsung sejak 1 Ogos hingga 30 September ini menyasarkan kutipan sebanyak RM120,000.
Ia hasil susulan kejayaan besar kempen tahun lalu yang berjaya mengumpul RM116,000 melangkaui sasaran asal iaitu RM100,000.

Dengan setiap pembelian pek ubat gigi 175 gram bagi Colgate Kayu Sugi dan Perlindungan Kaviti Maksimum, pengguna akan mendermakan sebanyak 20 sen yang bakal disalurkan kepada 12 rumah kebajikan seluruh negara.
Sementara itu, Warden Pkayis, Nazilan Mohd Arsat, 47, menjelaskan program begini sememangnya memberikan impak baik dalam membuka minda kanak-kanak terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
“Ada sesetengah daripada mereka yang masih berasa murung dan tertekan dengan nasib yang menimpa dan ini semestinya memberikan kesan buruk dalam perkembangan personaliti mereka.
“Pembabitan program sebegini mungkin dapat menyedarkan mereka bahawa masih ramai yang prihatin seterusnya membangkitkan semula keyakinan dalam diri mereka,” ujarnya berdasarkan pemerhatian selama lapan bulan berkhidmat di rumah kebajikan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: