Tuesday, August 24, 2010

Lempeng, bubur lambuk Bentayan


BUBUR lambuk Bentayan dan lempeng pisang adalah juadah istimewa yang terdapat di Warung Opah.


WALAUPUN dalam keadaan mata kiri buta dan kanan hanya dapat melihat samar-samar, Normala Omar enggan duduk diam di rumah.

Dengan semangat kental yang mula menebal di jiwanya, Normala bersama suaminya, Zulkifli Zain turut membantu anak bongsu mereka, Muhammad Noor Zabiq berniaga bubuk lambuk Bentayan dan lempeng pisang di Pasar Ramadan, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

"Kak Ala tidak buat apa pun untuk berniaga ini. Mata tak nampak, semua abang Joey dengan Zabiq yang buat. Lempeng pisang memang resepi istimewa emak abang Joey.

"Tetapi yang untungnya selain abang Joey, anak bongsu kami juga dah pandai buat bubur lambuk ini. Kak Ala hanya bantu-bantu mereka berniaga," kata Normala.

Normala menjelaskan, kedua-dua juadah itu merupakan resepi istimewa di Warung Opah yang diusahakan mereka.

"Sebelum memulakan perniagaan kami melihat dulu beberapa gerai sebelum bulan puasa yang banyak menjual pelbagai jenis kuih.

"Namun saya tidak pernah berjumpa lempeng pisang dijual di gerai-gerai mereka. Lalu saya berbincang dengan anak kami, lebih baik menjual bubur lambuk dan lempeng pisang.

"Inilah resepi istimewa abang. Banyak gerai di sini tapi tiada satu pun yang menjual lempeng pisang. Alhamdulillah sejak mula berniaga di pasar Ramadan ini, setiap hari sekurang-kurangnya lapan kilogram pisang boleh habis sehari," cerita Zulkifli sambil membakar lempeng pisang dan diperhatikan Normala serta cucu sulung mereka, Muhammad Armada Jiwa, 3.

Berniaga bubur lambuk Bentayan ini telah dimulakan oleh Zulkifli dan keluarganya sejak tahun lalu dengan mengambil tempahan kerana tidak memperolehi tapak berniaga.

"Alhamdulillah tahun ini kami dapat tapak di sini, jadi dapatlah abang memenuhi masa lapang di bulan puasa ini dengan membantu anak bongsu yang memang berniaga," akui Zulkifli lagi.

Menurut Zulkifli, walaupun di bulan Ramadan aktiviti lakonan tidak banyak namun dia bersyukur kerana mendapat tawaran berlakon iklan sempena Hari Raya Aidil Fitri.

"Saya amat bersyukur walaupun penggambaran hanya sehari tetapi bayarannya amat lumayan dan memang tidak boleh diperoleh daripada berlakon drama," terangnya.

Selain berniaga bubur lambuk Bentayan dan lempeng pisang dengan pelanggan tetapnya Hail Amir, Halil Chik dan Datuk Yusof Haslam, Zulkifli juga mengambil tempahan untuk mereka yang mahu menghantarnya ke masjid-masjid sebagai sajian moreh.

Lazimnya bubur lambuk itu dihantar ke masjid-masjid di sekitar Hulu Kelang, Taman Melawati, Taman Melati dan Gombak.

Bagi Muhammad Noor Zabiq pula, dia gembira kerana dapat membantu ibu dan ayahnya mencari rezeki.

"Alhamdulillah sejak mula berniaga sambutan resepi keluarga saya ini mendapat sambutan daripada pelanggan.

"Jika cuaca baik, dalam sehari kami boleh mendapat kutipan hampir RM200 sehari dan saya tahu selain resepi yang berbeza, populariti ayah dan mak saya juga banyak membantu perniagaan saya.

"Sebabnya apabila orang lalu dan ternampak ayah, mereka akan singgah dan membeli bubur lambuk Bentayan dan lempeng pisang kami," kata Muhammad dalam nada sungguh ceria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: