Wednesday, August 4, 2010

Komando berbasikal keliling dunia


Abdul Khalib Zakaria menerima bendera daripada Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin yang akan mengalas harapan rakyat Malaysia bagi projek Berbasikal Mengelilingi Dunia ( BMD2) selama 288 hari.


PENGALAMAN 22 tahun menjadi komando akan digunakan sebagai asas dan panduan oleh Koperal Abdul Khalib Zakaria dalam melaksanakan ekspedisi lasak berbasikal mengelilingi dunia.

Abdul Khalib daripada Rejimen 21 Grup Gerak Khas (GGK) Sungai Udang, Melaka bersama rakannya yang merupakan seorang awam, Mohd. Aswad Zainal, 24, telah memulakan ekspedisi itu pada 14 Julai lalu.

Ekspedisi yang diberi nama Berbasikal Mengelilingi Dunia (BMD) Ke-2 itu akan memakan masa 288 hari.

''Saya yakin dengan segala latihan dan pengalaman sebagai seorang komando selama ini, segala rintangan bakal saya tempuhi dengan tenang.

''Sebagai komando, saya telah dilatih dengan pelbagai ilmu kelangsungan hidup antaranya bertempur tanpa senjata, ikhtiar hidup dan juga tempur bersenjata.

''Pengalaman sebagai seorang komando selama 22 tahun akan digunakan sebaiknya dalam mengharungi semua cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi bagi menamatkan ekspedisi ini dalam masa yang telah ditetapkan,'' katanya.

Misi Abdul Khalib kali ini juga bertujuan memecah rekod pertama yang dicipta oleh pasangan adik beradik iaitu Datuk Hasan Nawawi dan Mohd. Ridhwan Abd. Rahman pada 2002.

Sehubungan itu juga Abdul Khalib telah menjalani latihan dan bimbingan di bawah tunjuk ajar Hasan dan Mohd. Ridhwan sejak tujuh tahun lalu.

''Tempoh cabaran kali ini 101 hari lebih singkat berbanding BMD pertama iaitu 389 hari seperti yang tercatat dalam buku Malaysia Book of Records," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penerimaan bendera dan sumbangan cek daripada Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin sebelum memulakan ekspedisi tersebut baru-baru ini.

Menurutnya yang juga juara Ironman Langkawi 2000, mereka akan menempuh laluan sukar kerana perjalanan melibatkan kawasan tanah tinggi di China iaitu Yunan, Sichuan dan Xinjiang.

"Kawasannya bergunung-ganang dan faktor cuaca juga mencabar kerana di sana saya akan berbasikal di bawah suhu 0 darjah celcius," katanya.

Menurut beliau, ekspedisi tersebut juga akan melibatkan 12 buah negara iaitu Thailand, Laos, China, Kyrgyztan, Uzbekistan, Iran, Turki, Greece, Itali, Perancis, England dan Amerika Syarikat (AS).

Ekspedisi yang paling getir bagi Abdul Khalib sebelum ini adalah berbasikal selama 100 hari melalui Thailand, Laos, Vietnam dan China.

''Ekspedisi tersebut merupakan persediaan awal bagi memantapkan kekuatan mental, fizikal serta rohani bagi mencapai matlamat misi tersebut.

''Ketika berada di tempat orang, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang akan terjadi agar tidak mengganggu jadual perjalanan dan seterusnya menggagalkan misi ekspedisi ini," ujar Abdul Khalib.

Tambahnya, dia juga membuat persiapan dengan mempelajari bahasa asing bagi memudahkan ekspedisi mereka nanti.

Abdul Khalib telah menetapkan sasaran kayuhan sejauh 140 kilometer sehari untuk membuktikan kehebatan anak Malaysia di arena antarabangsa.

Jarak yang bakal dilalui melibatkan kayuhan sejauh 30,042 kilometer sebelum menamatkan ekspedisi tersebut.

Namun sebagai seorang manusia, beliau sedar sakit demam akan menjadi penghalang utama dalam ekspedisi tersebut.

''Saya berserah kepada Allah SWT dan berdoa kepadaNya agar mempermudahkan segala perjalanan kami dan dijauhkan daripada segala penyakit,'' katanya.

Menurut rekod, Abdul Khalib dan Aswad juga merupakan pemegang rekod "Malaysia's Longest Distance Cycling by A Duo" setelah mereka berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah pada jarak 4,547 kilometer dalam tempoh sebulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: