Sunday, August 29, 2010

Kemeriahan lebaran diva



Lebaran Diva Datuk Siti Nurhaliza (LDDSN) membawa kelainan apabila menampilkan gandingan Datuk Siti Nurhaliza dan dua artis baru yang meningkat naik, Akim dan Shahir menyampaikan pelbagai lagu termasuk lagu-lagu raya popular.

Walaupun pertama kali berkongsi satu pentas, namun keserasian yang dibina tidak perlu dipertikaikan malah mereka kelihatan begitu serasi di atas pentas.

Siti tampil dengan variasi lagu-lagu popularnya termasuklah Debaran Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Hanya Dia yang dipersembahkan dengan susunan muzik yang segar dan baru.

Selain lagu-lagu biasa, Siti juga tampil dengan lagu raya Airmata Syawal dan persembahan medley bersama Shahir dan Akim dengan lagu Malam Bulan di Pagar Bintang, lagu popular kumpulan Ilusi, Puisi Cinta dan lagu raya Azlina Aziz, Indahnya Beraya Di Desa.

Shahir dan Akim turut tampil dengan lagu-lagu popular masing-masing termasuklah Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Inikah Cinta dan turut berduet menerusi lagu raya, Balik Kampung.

Penerbit LDDSN, Lydia Emalia Ishak berkata demi untuk memberikan kelainan pada program ini, pihaknya memutuskan untuk menyuntik gabungan lama dan baru itu demi untuk memberi variasi pada program-program raya yang sedia ada.

“Kami ingin menghidangkan pengisian yang segar dan berbeza pada para penonton. Memandangkan Siti turut akan muncul dalam beberapa program muzikal raya di stesen TV yang lain.

“Kami suntik pengisian program yang segar dengan menggabungkan Siti dengan Shahir dan Akim, selain susunan muzik yang belum pernah dipersembahkan oleh Siti dalam mana-mana program TV sebelum ini,” katanya yang pertama kali menerbitkan program muzikal.

Sementara itu, Siti mengakui begitu teruja memandangkan persembahan kali ini dia digandingkan dengan dua pendatang baru, justeru konsep itu menarik minatnya kerana ia berbeza daripada mana-mana program raya yang pernah dirakamkan sebelum ini.

“Saya tertarik dan teruja dengan program ini kerana konsepnya yang segar dan berbeza daripada mana-mana program raya yang pernah saya terlibat sebelum ini. Idea untuk menggabungkan yang lama dan baru itu menarik minat saya.

“Jika hanya persembahan muzikal yang biasa-biasa sahaja saya sudah biasa buat sebelum ini tapi kali ini ia istimewa kerana saya berkongsi pentas dengan dua pendatang baru iaitu Shahir dan Akim,” katanya.

Lebaran Diva Datuk Siti Nurhaliza akan bersiaran hari raya ini di saluran Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: