
ISTILAH kesukarelaan bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu. Konsep gotong-royong misalnya, adalah satu amalan biasa khususnya masyarakat di luar bandar untuk menggerakkan sesuatu program atau kerja-kerja khidmat masyarakat.
Semangat murni itu bukan sahaja memberi kepuasan kepada para sukarelawan, malah turut mendatangkan kesan positif bagi penduduk di sesebuah kawasan.
Justeru, ia perlu dipupuk dalam jiwa kalangan anggota masyarakat agar konsep bergotong-royong atau amalan sukarelawan terus segar dan tidak terhakis dalam kehidupan moden pada hari ini.
Demikian yang dilakukan oleh penduduk Kampung Pulau Meranti, Puchong dalam satu program jualan amal baru-baru ini.
Program sehari yang dijalankan bersama para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Universiti Lim Kok Wing, pelajar sekolah dan beberapa agensi kerajaan itu bertujuan mengumpul dana Rumah Penjagaan dan Rawatan Orang Tua al-Ikhlas bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara.
Setiausaha program, Jaleha Shamsudin berkata, pihaknya berbangga kerana berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM4,864 pada akhir program berkenaan.

“Selain sumbangan orang perseorangan, kita berjaya memperoleh keuntungan melalui pelbagai aktiviti seperti jualan makanan dan lelongan lukisan dan kraftangan.
“Sumbangan ini akan digunakan bagi memperbaiki segala prasarana dan kemudahan yang terdapat di pusat jagaan berkenaan. Secara tidak langsung ia dapat memastikan keselesaan kepada para penghuni di situ pada masa hadapan,” katanya.
Di samping mengumpul dana, program tersebut dapat mengeratkan hubungan antara penduduk kampung dan anggota sukarelawan.
Katanya, segala aktiviti dilakukan secara gotong-royong termasuk dalam pembahagian tugas, mengendalikan majlis, menyediakan hidangan pagi dan tengah hari.
“Kami di sini ibarat sebuah keluarga yang besar, tanpa mengira umur, bangsa dan ideologi politik, semua pihak berganding bahu bagi memastikan keseluruhan program berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Simbolik pada majlis itu adalah bacaan ikrar dan pemberian watikah kemerdekaan oleh sekumpulan kanak-kanak kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed yang diadakan bersempena bulan kemerdekaan yang disambut pada tahun ini.
Cukur jambul
Di samping aktiviti mengutip dana, pengunjung dan warga emas yang hadir turut dihiburkan dengan acara senamrobik dan persembahan kebudayaan yang dikendalikan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) dan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti.

Namun, antara aktiviti yang paling mencuri tumpuan ialah cukur jambulthon yang melibatkan kira-kira 45 bayi berumur dalam lingkungan setahun. Ia berjaya mencipta sejarah tersendiri kerana menjadi majlis cukur jambul beramai-ramai yang pernah diadakan setakat ini.
Pada masa yang sama, program itu turut juga meraikan bekas Ketua Bahagian Wanita UMNO Sepang yang pertama, Saniah Sutan di atas jasanya yang memimpin bahagian itu hampir 34 tahun.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Pentadbiran, Jabatan Generasi Baru, Universiti Lim Kok Wing, Husain Mohd. Otoi memberitahu, penglibatan mereka merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak universiti kepada masyarakat.
Ujarnya, ia disertai seramai 15 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar semester satu dan lima dari Kelab Ahli Penyayang dan Persatuan Anak-Anak Felda.
“Selain membantu dalam aktiviti sukarelawan, para pelajar juga membuat lelongan amal lukisan potret yang dihasilkan di samping sumbangan makanan kepada penghuni-penghuni di rumah berkenaan.
“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak terlalu besar, namun ia sudah cukup menunjukkan keprihatinan mereka khususnya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Wakil rumah jagaan berkenaan, Mohd. Alif Ainuddin berkata, penghuni rumah itu terdiri daripada warga emas yang hidup sendirian atau yang dihantar oleh keluarga mereka bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan.
Ujarnya, rumah yang diasaskan pada tahun 2003 itu masih memerlukan bantuan orang ramai dan sektor korporat bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan lancar.
“Kami sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan bantuan tidak kira dalam bentuk apa sekali pun bagi memastikan keselesaan para penghuni di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: