Friday, August 20, 2010

Jangan pandang serong: Siti & Kak Pah

Apabila membaca berita pertemuan semula Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza dalam satu sesi fotografi khas yang diatur sekumpulan media semalam, pasti ramai yang lega dan senyum. Buang yang keruh ambil yang jernih.

Apatah lagi tiada kes membabitkan sesiapa dalam isu yang membawa kepada masalah krisis hubungan yang terjadi sejak tahun 2004. Ia timbul apabila satu e-mel yang dikatakan mengandungi kenyataan memfitnah Siti tersebar. Siti dan Sharifah Aini turun naik mahkamah beberapa bulan. Namun tiada siapa yang didapati bersalah di penghujungnya.

Tiada dendam di hati.

"Ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila melihat mereka akhirnya sedia bersemuka dan mesra semula. Apatah lagi kedua-dua bintang ini adalah dua bintang yang hebat," kata Editor URTV, Huzz.

Huzz adalah wartawan pertama yang membuka mulut kepada kedua-dua mereka untuk dipertemukan. Apabila mendengar sendiri bagaimana Sharifah mengikuti perkembangan Siti, malah mendoakan agar Siti segera menimang anak, dia terus teringat untuk menggandingkan mereka dalam satu sesi fotografi.

Apabila Sharifah mengatakan dia tiada sebarang masalah untuk bertemu Siti lantaran tidak pernah menyimpan dendam, segera Huzz menghubungi talefon bimbit suami Siti, Datuk Khalid Mohd. Jiwa. Panggilan itu dibuat di hadapan Sharifah Aini. Tiada jawapan yang diberikan pada masa itru kerana Siti sudah membuat keputusan berehat seketika daripada aktiviti seni.

Akhirnya Huzz terima panggilan daripada pihak Siti yang memaklumkan kesediaannya untuk memenuhi permintaan. Sebenarnya pada masa yang sama ada juga permintaan daripada pihak Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk menggandingkan mereka dalam sesi fotografi sempena Hari Raya Aidilfitri. Lalu satu tarikh dipilih memenuhi permintaan itu.

Saling bertanya khabar...

The Royale Suites, Hotel Royale Bintang, Kuala Lumpur menjadi saksi hari bersejarah itu. Terima kasih kepada Pegawai Perhubungan Awamnya, Rizal Johan Van Geyzel yang memberi kerjasama dengan hanya satu panggilan beberapa hari sebelum tarikh ditentukan.

"Sebenarnya sesi ini bukannya sesi berdamai atau apa sahaja tujuan. Ia hanyalah sesi fotografi biasa. Kami tak bergaduh, cuma kami ini ibarat menjadi mangsa keadaan. Akibat peristiwa lalu itu kami tidak bertegur sapa, walaupun dalam hati saya tidak pernah simpan dendam ataupun memusuhi Siti," kata Sharifah Aini.

Siti juga sependapat dengan Sharifah kerana dia sudah lama melupakan perisriwa itu. Siti tidak pernah menuduh sesiapa selama ini sebaliknya hanya memenuhi kehendak pihak yang menyiasat kes penyebaran e-mel tersebut.

"Siti tak pernah berdendam dengan Kak Pah dan Siti dah lama lupakan kejadian yang berlaku, tapi nak buat macam mana, kami memang jarang berjumpa. Sebenarnya tahun lalu Siti ada berjumpa dengan Kak Pah dalam satu majlis. Kami bersalaman dan bertegur sapa, cuma tak sempat nak berborak panjang kerana menghadiri majlis orang. Pertemuan ini bukanlah pertemuan pertama," kata Siti.

Jangan sensasikan pertemuan

Kedua-dua bintang tersohor itu meminta agar peminat dan sesiapa sahaja tidak menjadikan pertemuan mereka sebagai satu isu atau mengatakannya sebagai lakonan.

Masing-masing gembira dengan pertemuan semula dua diva ini.

"Kamu semua (media yang ada pada masa itu) pasti gembira dengan pertemuan ini kerana kamu bukanlah orang yang terbabit dalam apa yang berlaku sebelum ini. Tapi pihak yang melakukannya akan sakit hati melihat kami bertemu semula. Saya harap selepas ini tak akan ada lagi artis yang melalui apa yang kami lalui ini," kata Sharifah Aini.

Siti juga berharap peminat tidak memandang serong dan membuat tanggapan yang bukan-bukan sebaliknya gembira dengan apa yang berlaku itu.

Sesi itu juga menyaksikan tumpahnya air mata dua diva itu kerana tidak dapat menahan sebak setelah melalui peristiwa yang mereka sendiri harap tidak berlaku kepada diri mereka. Namun benda sudah berlaku, terpaksalah melaluinya juga.

Sharifah Aini kelihatan bergelang air mata apabila Siti meletakkan kepala ke pahanya dalam satu posing yang diarahkan. Dalam mindanya datang bermacam persoalan pada masa itu.

Saling mengundang ke rumah.

"Saya tak dapat menahan sedih apabila melihat Siti melentukkan kepalanya ke paha saya. Saya nampak Siti macam seorang anak. Timbul rasa kasihan apabila dia terpaksa melalui semua ini dan dalam tempoh enam tahun ini kami tidak boleh bercakap kerana masalah yang berpunca daripada orang lain," kata Sharifah Aini.

Kata-kata Sharifah itu membuatkan Siti juga sebak dan menahan air mata. Selepas sesi temu bual selesai, Siti tidak dapat menahan sebak dan melangkah ke arah suami yang hadir semasa sesi hampir selesai untuk menjemputnya pulang.

"Siti amat kagum dengan Kak Pah. Siti ini masih jauh kalau mahu dibandingkan dengan Kak Pah. Apa yang Siti lalui ini lebih dulu dilalui oleh Kak Pah. Arwah bapa Siti peminat besar Kak Pah dan apabilla terdengar lagu Kak Pah dimainkan di TV atau radio, dia sanggup berhenti berbual untuk mendengarnya," dedah Siti.

Sharifah juga membuka rahsia yang dia memiliki kesemua album Siti dalam perpustakaan muzik di rumahnya kerana turut kagum dengan bakat yang Siti miliki.

Sebelum melangkah pulang, masing-masing saling menjemput ke rumah pada Hari Raya Aidilfitri akan datang. Itulah detik yang mahu dilihat oleh peminat yang mengikuti perkembangan kedua-dua penyanyi bersuara lunak ini.

Media juga gembira

Huzz menyifatkan pertemuan mereka sebagai satu sejarah dan ibarat impian menjadi kenyataan.

"Sudah lama mahu membuka mulut untuk meminta sesi ini diaturkan, tapi takut permintaan kita akan menjadi isu sensitif. Tapi apabila nampak ada jalan positif, saya memberanikan diri membuka mulut.

Bukan lakonan

"Saya kenal Sharifah Aini sudah lama dan mengikuti perkembangan Siti sejak awal kemunculannya, saya dapat agak, mereka sebenarnya tidak menyimpan dendam di antara satu sama lain. Saya meminta kebenaran suami Siti sebagai menghormatinya yang sudah bergelar isteri," kata Huzz.

Nurul Hisham dari Berita Harian pula mengatakan pertemuan ini sangat bermakna kerana kedua-duanya terbuka hati semasa umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.

"Sebelum ini kami pernah menjemput kedua-dua mereka menghadiri majlis yang kami anjurkan. Kerana bimbang ada yang sensitif atau tidak selesa, kita terpaksa memastikan mereka tidak bertembung. Memang kita mahukan mereka bersemuka, tapi kerana bimbang kemungkinan apa-apa yang sensitif, kami terpaksa mengaturkan agar tiada pertembungan.

"Dengan perkembangan hari ini (semalam) akan memudahkan sesiapa sahaja yang mahu mengundang mereka ke majlis yang sama," kata Nurul.

Penolong Ketua Unit Jurugambar Majalah Kumpulan Utusasn, Azhar Mogo juga melihat pertemuan itu sebagai satu rahmat pada bulan Ramadan.

"Alhamdulillah kedua-dua mereka terbuka hati untuk bertemu semula pada bulan Ramadan. Itu tandanya sudah ada rahmat yang diperolehi," kata Azhar yang menjadi jurugambar pertama merakam gambar Siti setelah bergelar artis rakaman.

Editor Hiburan Utusan Malaysia, Saharuddin Musthafa pula menyifatkan pertemuan yang turut disaksikannya itu sebagai satu detik paling indah dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan. Dia sangat seronok menjadi salah seorang wartawan yang menyaksikan pertemuan indah itu.

"Kes mereka berdua ialah kes yang jarang berlaku, dan pertemuan yang diaturkan oleh pihak media juga bukannya kejadian biasa. saya tak dapat menyembunyikan rasa seronok apabila mereka kembali bersua.

"Apatah lagi melibatkan dua nama yang paling besar dalam industri hiburan tanah air," kata Saharuddin yang rapat dengan Siti dan Sharifah Aini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: