AYAH nak ke mana ni?" Satu suara halus bertanya. "Ke surau nak." "Ayah, adik nak ikut…" sambil memakai songkok dan berbaju Melayu labuh, terkedek-kedek si anak berlari mendapatkan si ayah yang sudah sedia memegang basikal tua. Dengan cepat si anak naik dan duduk di galang basikal lalu mereka menuju ke surau. Di surau, kelihatan si ayah membawa seuncang beras. Seorang Pak Haji sedang menunggu dengan tersenyum. Lalu si anak bertanya lagi… "Beras ni nak buat apa ayah?" "Ini untuk zakat kita tahun ini nak…"
Demikianlah sedikit sedutan iklan di televisyen yang pernah disiarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu. Keharmonian amat terasa, dengan berlatar belakangkan sebuah desa, sawah padi menghijau, berbasikal tua meniti di batas-batas bendang dan Pak Aji yang senyum manis menanti di surau, lalu zakat dijadikan tema iklan raya tersebut. Intipatinya hanya satu, menjadikan hari raya medan berkongsi kegembiraan antara si kaya dan miskin yang kelaparan.
Zakat adalah rukun Islam ketiga. Kedudukannya di tempat ketiga ini dan sering digandingkan oleh Allah SWT dengan arahan mendirikan solat, telah dengan sendirinya menggambarkan status hukum dan kepentingan zakat.
Di samping itu, zakat mula difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua selepas hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Ia termasuk dalam ayat-ayat atau surah Madaniyah, iaitu wahyu Allah SWT yang banyak menekan aspek hukum dan syariat Islam berbanding aspek akidah. Banyak dalil naqli (dalil al-Quran dan al-hadis) yang menyatakan kewajipan zakat, di antaranya firman Allah di dalam surah An-Nur, ayat 56: Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berikanlah zakat.
Nabi Muhammad SAW juga pernah menyatakan kepada Muaz bin Jabal yang diutus ke Yaman sebagai gabenor akan kepentingan zakat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain: Engkau hendaklah menerangkan kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan sedekah (zakat), yang dikenakan terhadap kekayaan orang kaya di kalangan mereka.
Falsafah zakat
Inilah cantiknya hukum dan syariat zakat ini, sehinggakan di dalam lipatan sejarah ia amat berkesan semasa perlaksanaannya pada zaman Rasulullah. Apatah lagi, zakat adalah amalan baik yang berkesinambungan daripada apa yang telah diamalkan sebelum turunnya Islam. Sifat-sifat mulia seperti belas ihsan, prihatin dan suka bersedekah telah difardukan akhirnya.
Maka, oleh kerana ia sememangnya satu amalan mulia yang tidak bercanggah langsung dengan fitrah manusia, tidak pernah terdengar sedikitpun suara yang membantah dan mengingkari kewajipannya setelah ia diangkat oleh Allah SWT sebagai amalan wajib. Bahkan pada zaman itu, zakat telah menjadi item utama sumber pendapatan negara Madinah Al-Munawwarah demi menjana pembangunan ummah.
Pembahagian zakat
Bagi memudahkan umat Islam, ulama fikah telah membahagikan zakat itu kepada dua, iaitu zakat fitrah (zakat badan) dan zakat mal (zakat harta). Zakat fitrah adalah seperti apa yang telah digambarkan di dalam iklan raya di atas. Ia diwajibkan di dalam bulan Ramadan dan wajib ditunaikan sebelum solat Hari Raya Aidilfitri. Hukumnya wajib kepada setiap individu Muslim walaupun dia seorang hamba, dengan syarat mereka hidup pada bulan Ramadan hingga masuk 1 Syawal.
Kewajipan mengeluarkannya adalah terletak kepada diri sendiri, wali atau ketua keluarga berkenaan. Ia dikeluarkan untuk setiap individu berdasarkan kepada 1 gantang Baghdad yang bersamaan 2.70 kg makanan ruji sesebuah tempat.
Daripada Ibnu Abbas r.a., berkata: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan yang kotor dan sebagai makanan bagi orang miskin. Kerana itu, sesiapa mengeluarkannya selepas solat (Aidilfitri), maka ia merupakan salah satu sedekah daripada sedekah-sedekah biasa." (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).
Manakala zakat mal, ia adalah tertakluk kepada harta-harta tertentu. Zakat mal ini pula tidak diwajibkan kepada hamba, seperti mana zakat fitrah. Dari aspek kekayaan, zakat mal atau harta inilah yang mewakili status kekayaan umat Islam, kerana ia digambarkan kepada ketinggian kutipan zakat di sesuatu tempat.
Seperti dinyatakan, semakin tinggi kutipan zakat, bermakna semakin tinggilah taraf sosio-ekonomi rakyat dan semakin melebarlah manfaat zakat kepada lapan asnaf yang memerlukan. Semua ini menjadi indikator kepada keseimbangan sosio-ekonomi, kestabilan politik dan seterusnya kemakmuran negara umat Islam.
Pada tahap awal perbincangan ini, diharapkan para pembaca telah mendapat kefahaman awal tentang zakat. Dalil kewajipannya, status zakat dalam rukun Islam, falsafah zakat, definisi zakat dan pembahagiannya.
Semua ini akan memudahkan masyarakat untuk memamahi, seterusnya kenapakah zakat perlu diangkat kembali menjadi agenda penting ummah. Ini termasuklah isu-isu kontemporari zakat seperti penglibatan sektor kewangan lain dalam institusi zakat, penguatkuasaan undang-undang zakat dan sebagainya lagi.
Insya-Allah, dengan kefahaman yang jelas ini akan memudahkan kita mempelajari zakat, satu rukun Islam yang manfaatnya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang Islam di dunia ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: