MAJLIS Peragaan Fesyen Koleksi Aidilfitri anjuran Karyaneka menggalakkan masyarakat Malaysia untuk mengindahkan sambutan lebaran kali ini ini dengan penggunaan kraf tekstil seperti batik, songket, tenun dan sulaman.
Peragaan yang julung kali diadakan itu berjaya memukau tetamu yang hadir apabila fabrik turun temurun terbabit dizahirkan penuh mempesona dalam gaya moden.
Sentuhan pereka yang tidak asing lagi, Datin Sharifah Kirana yang menampilkan koleksi busana menarik daripada fabrik batik memang mencuri perhatian.
Bermotifkan corak flora dan fauna, Sharifah Kirana menggunakan kombinasi fabrik seperti sutera sifon, sutera satin, organza dan renda, menambahkan nuansa gaya pada rekaannya.
Biarpun dizahirkan dalam fesyen moden, koleksi berkenaan tetap mampu menyerlahkan imej feminin yang penuh anggun.Katanya, koleksi Aidilfitri Butik Karyaneka boleh dianggap berstatus busana yang eksklusif untuk dimiliki."Setiap rekaan dihasilkan hanya sepasang saja dan anda tidak akan bertemu dengan wanita lain yang memakai busana yang sama."Itu yang menambahkan lagi nilai koleksi busana songket dan batik Karyaneka," katanya.
Selain batik, koleksi pakaian daripada songket dalam pelbagai versi menarik turut diperagakan pada majlis berkenaan.
Selepas menjalani revolusi rekaan, penggunaan songket kini dilihat sudah semakin meluas malah dengan corak kontemporari, songket turut diangkat menjadi fabrik yang boleh digayakan untuk pelbagai acara.
Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd, Zuraidah Abdul Razak, koleksi hari raya yang dipamerkan cukup istimewa kepada peminat songket dan batik.
"Sebenarnya pasaran batik dan songket hari ini sudah melalui fasa revolusi yang amat mendadak.
"Untuk itu, kami di Karyaneka berusaha untuk menonjolkan kepelbagaian batik dan songket agar boleh digunakan secara versatil dan kontemporari," katanya.
Selain busana, produk kraf tempatan lain daripada bidang hasil rimba, tanah serta logam juga boleh didapati di Karyaneka untuk keperluan persiapan menjelang Aidilfitri.
Harga promosi ditawarkan di semua 11 cawangan butiknya bermula 6 Ogos hingga 9 September depan.
Butik Karyaneka berada di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Plaza BB, kios Mid Valley, Matics Jalan Ampang, Bangunan Wisma Kraftangan Jalan Tun Perak, Lapangan Terbang Langkawi, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Seremban, Kraftangan Malaysia Kuantan dan Bangunan Satelit KLIA.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: