Tuesday, August 24, 2010

Holding Lounge Bukan Depot Tahanan

Pegawai Imigresen membawa masuk warga asing ke Holding Lounge bagi penempatan sementara untuk urusan penghantaran pulang.

KENAPA bilik tahanan sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diberi nama Holding Lounge (HL)?

“Mereka yang ditempatkan di sini bukan pesalah atau penjenayah. Ini sekadar bilik menunggu sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Jika mereka bukan tahanan, kenapa ditempatkan di bilik tahanan sementara yang dipagari dinding kaca dengan kawalan 24 jam oleh Pegawai Imigresen?

“Penempatan dan kawalan diwujudkan supaya mereka tidak berkeliaran bebas di kawasan imigresen memungkinkan mereka membolosi pintu masuk.

“Ini bagi memastikan keadaan di KLIA terkawal dan selamat, sekali gus membantu melancarkan operasi pergerakan masuk di pintu masuk.”

Demikian penjelasan Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abd Rahim kepada Mingguan mStar mengenai fungsi sebenar penubuhan HL.

Warga asing yang ditempatkan di HL merupakan pelawat biasa dilayan seperti orang lain dengan jaminan dari segi kebajikan dan keselamatan.

Kemudahan itu sebenarnya memberi keselesaan kepada warga asing terbabit sepanjang tempoh menunggu penerbangan untuk mereka pulang ke negara asal.

Namun ia disalah tafsir seolah-olah fungsinya menyamai depot tahanan berikutan ia menempatkan warga asing bermasalah atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

Shahul berkata, pelawat asing di ruangan itu datang ke Malaysia bagi tujuan melancong, belajar dan melawat ahli keluarga serta kenalan.

“Depot tahanan menempatkan warga asing yang ditangkap kerana melakukan kesalahan sebaliknya HL menempatkan mereka yang disekat di pintu masuk.

“Warga asing yang dihantar ke HL tidak melakukan kesalahan tetapi disebabkan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

“Tidak wajar sekiranya golongan ini dikatakan sebagai pendatang asing tanpa izin kerana mereka memasuki negara secara sah menggunakan pasport,” katanya.

Seramai 8,148 warga asing yang ditempatkan di HL sejak Januari tahun lalu sehingga kini dan sepanjang tempoh itu, Julai mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,721 orang.

Warga Bangladesh merupakan jumlah tertinggi yang dihantar pulang kerana sekatan di pintu masuk KLIA.

Antara pelawat asing lain yang sering ditempatkan HL merupakan warganegara Pakistan, China, India, Nigeria dan Kazakhstan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: