Saturday, August 14, 2010

Glenn giat melatih Matthew


MATTHEW SAYERZ


SEBAIK sahaja kontraknya selama 15 tahun berakhir dengan syarikat rakaman, Sony Music Entertainment Indonesia lebih sebulan lalu, pemuzik dan penyanyi terkenal dari negara seberang, Glenn Fredly pantas membangunkan rumah produksi sendiri - Rame Rame People Music.

Tidak hanya meluah kecintaan seni menerusi syarikat itu, pemilik nama lengkap Glenn Fredly Deviano Latuihamallo itu turut mencungkil bakat baru untuk diketengahkan. Kini, segala ilmu dituntut Glenn dilampias kepada pendatang baru, Matthew Sayersz.

Glenn yang mula meramaikan belantika muzik Indonesia pada tahun 1995 berkata, Matthew sebelum ini muncul bersama pemuzik iringan sendiri iaitu Matthew Sayersz & Friends. Tidak lama kemudian, dia mengambil keputusan untuk bergerak sendirian.

Kali pertama mengenali Matthew, jelas Glenn, sekitar tiga tahun lalu. Pada waktu itu, Matthew yang berawal sebagai pemain drum turut tersenarai menjadi artis undangan pada konsert Glenn dan Ello di salah sebuah sekolah di Jakarta.

“Saya sedang giat melatih Matthew yang punya paduan suara sebagai penyanyi jalur R&B, pop dan jazz. Bahkan, saya bertindak sebagai produser album perdananya. Untuk permulaan, singlenya berjudul, Extra sudah dilancarkan baru-baru ini.

“Cuma, saya tengah tunggu waktu sesuai untuk membuat pelancaran album Matthew. Kalau tiada sebarang masalah, saya harap ia dapat dilaksanakan pada bulan puasa ini,” jelasnya yang mengagumi ciri khas vokal berkarakter anak didiknya itu.

Jejaka dilahirkan tanggal 30 September 1975 itu mengakui dengan wujudnya Rame Rame People Music dan protégé baru tersebut, tiada lain diinginkannya kecuali ia mampu menjadi legasinya selepas menamatkan kerjasama dengan syarikat rakaman terdahulu.

“Sebenarnya, sudah lama saya hendak membina syarikat produksi sendiri. Tetapi, disebabkan masih terikat dengan kontrak bersama Sony Music Entertainment, saya terpaksa memendamkan impian ini terlebih dahulu lalu membiarkan saja waktu berjalan.

“Sekarang, saya sudah ada ruang penuh untuk merekrut orang- orang baru yang berminat bergelar sebagai penyanyi. Paling penting, saya agak selektif memilih individu-individu ini. Bagi menjadi bintang, mereka perlu ada keunikan dan faktor X masing-masing.

“Tidak dinafikan, banyak lagi rencana saya untuk Rame Rame People Music. Cuma, buat masa ini, saya mahu merealisasikan apa yang sudah ada dalam fikiran sambil menghabiskan lebih banyak waktu dengan keluarga dan binatang peliharaan,” terangnya yang bercita-cita ingin berduet dengan Datuk Sheila Majid.

Dalam pada itu, kunjungan Glenn ke Malaysia baru-baru ini adalah bagi menjayakan konsert Glenn Fredly Live In KL anjuran rumah penerbitan, Brilliant Touch Art & Events bertempat di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.

Melagukan karya-karya popular daripada album Glenn, Kembali, Selamat Pagi Dunia dan Lovelution, tidak dilupakan dengan persembahan Village of Love, Music and Creativity oleh Persatuan Pelajar Indonesia, HELP University, Kuala Lumpur.

Selepas menjayakan konsert selama satu jam setengah dengan menyanyikan 20 buah lagu, Glenn yang mengangkut seramai 20 orang pemuzik termasuk pengurus dan pembantu peribadinya dari Indonesia dilihat pantas membuat kenyataan di laman Twitter.

“Terima kasih Kuala Lumpur kerana saya benar-benar menikmati persembahan hebat pada malam ini. Malah, saya rasa cukup gembira diberi kesempatan bertentang mata dengan peminat yang lama dirindukan.”

Sementara itu, menurut salah seorang wakil Persatuan Pelajar Indonesia, HELP University, Reza Haryo, pemilihan Glenn disebabkan penyanyi itu sedang mempromosi album terbarunya ditambah punya penggemar di Malaysia sejak sedekad lalu.

“Lagipun, kami senang berkolaborasi dengan Glenn dan pihak pengurusannya. Dia tidak banyak kerenah walaupun popularitinya sangat membanggakan di negara kelahiran kami dan juga Malaysia,” jelas Reza menjadi representatif suara 13,000 pelajar di universiti berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: