Tuesday, August 17, 2010

Eman Manan Kecewa Nilai Filem Melayu

"Saya sering menonton filem atau drama Melayu dan kebanyakannya gemar memasukkan nilai yang terlampau banyak sehingga hilang dan tak nampak seninya di mana.

"Mereka terlalu ghairah menonjolkan adegan rempit, pelacuran dan macam-macam dan saya tak percaya mesej yang cuba disampaikan melalui filem sebegitu. Mereka gagal bercerita dan gemar menyampaikan mesej dan teladan secara terus tanpa membuatkan penonton berfikir. Banyak filem gagal dalam aspek penceritaan bila terlampau sarat dengan mesej untuk penonton.

"Namun begitulah hakikat. Sebuah naskah bukan hanya menonjolkan apa-apa pemandangan, ada perkara kemanusiaan yang harus dipaparkan, namun bukanlah secara terus," begitulah luahan pelakon hebat Eman Manan.

Baginya, nilai yang ada dalam sesebuah filem semakin kurang dititikberatkan membuatkan filem Melayu masih berada di takuk yang lama. Tambahnya lagi, kegusaran mula timbul apabila menjadi teraju utama telemovie Kabus bergandingan dengan Alex Komang.

"Kami sudah tidak ada yang menarik untuk dikongsi dengan masyarakat. Saya tak sambut birthday untuk wartawan datang buat liputan, sudah tidak ada scandal untuk menarik perhatian masyarakat, saya tak ada badan yang sasa dan tubuh yang montok. Kekuatan yang ada hanyalah pada skrip atau naskah yang benar-benar mampu membuatkan penonton duduk menonton sehingga tamat.

"Saya benar-benar mendesak untuk dapatkan skrip yang kuat untuk mencengkam jiwa orang di luar sana. Karyanya harus berlaku untuk Kabus menjadi visual yang besar. Banyak skrip yang terlalu bercerita mengenai segalanya sehinggakan kadang kala tak perlu ada pelakon," demikian dalamnya kata yang lahir dari pencinta seni sejati.

Eman juga lebih banyak bercerita perihal industri masa kini yang semakin sempit dengan pendatang baru yang padanya hanya bersandarkan pada rupa. Bukannya satu perkembangan negatif, namun baginya adalah lebih baik jika kecantikan yang bersifat material diserikan dengan intelek akal.

"Saya lihat industri sekarang banyak rupawan dan jelitawan, dan syukur segelintir mempunyai ilmu dalam bidang yang diceburi. Senang jika individu ada pengetahuan kerana mereka akan dapat melihat kelemahan industri dan membantu bangunkannya," kata peminat setia Alex Komang ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: