Thursday, August 19, 2010

Ditahan selepas buang bayi


SEORANG anggota polis memeriksa mayat bayi lelaki (dalam bulatan) yang ditemui di pusat pengumpulan sampah Hospital Melaka semalam. Gambar kecil pula ialah bayi lelaki yang ditemui di Seberang Takir, Kuala Terengganu.


MELAKA - Tembelang sepasang kekasih yang membuang bayi lelaki berusia lima bulan ke dalam tong sampah Hospital Melaka di sini terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan ketika ibu bayi itu mendapatkan rawatan di hospital tersebut kelmarin.

Kejadian pukul 4 petang itu terbongkar apabila kakitangan hospital berasa curiga melihat keadaan wanita tersebut seperti baru bersalin walaupun pada mulanya dia menafikannya.

Selepas didesak, wanita tersebut akhirnya mengaku yang dia baru sahaja melahirkan anak di dalam tandas hospital sebelum membuangnya di dalam tong sampah.

Bagaimanapun, pencuci bangunan kemudian secara tidak sengaja telah memindahkan sampah yang mengandungi bayi tersebut ke dalam tong sampah besar.

Sehubungan itu, polis terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mencari mayat bayi tersebut dengan menyelongkar lebih 20 buah tong sampah sebelum ia ditemui pukul 1.50 petang semalam di pusat pengumpulan sampah hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebaik menerima maklumat, kita telah melancarkan operasi mencari mayat bayi tersebut. Polis bernasib baik kerana menemuinya semula," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: