Friday, August 27, 2010

Diana hanya beli 2 baju raya

BERWAJAH kacukan dan berbakat besar dalam bidang seni, memberi kelebihan buat pelakon jelita Diana Danielle dan pengacara serta pelakon Juliana Evans untuk menempa nama di persada seni tanah air.

pix_middle
pix_topright
Malah, Diana, 19, dan Juliana, 21, memang menjadi rebutan pengarah dan produser drama dan filem tanah air ketika ini. Jika Diana baru selesai penggambaran filem arahan U-Wei Shaari, Hanyut, Juliana pula baru selesai penggambaran drama bersiri Astro, Cornetto Inikah Cinta.

Namun, kesibukan berlakon tidak menghalang Diana dan Juliana untuk menjayakan sesi fotografi di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diana dan Juliana turut berbuka puasa dengan pelbagai juadah lazat di Taman Sari Brasserie di hotel berkenaan.

Pada sesi fotografi bersama Rap itu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson yang baru selesai penggambaran filem Hanyut mengakui ingin berehat daripada aktiviti lakonan selama beberapa bulan.

Pada masa sama, Diana akan menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, Selangor pada September nanti."Sepanjang Ramadan ini, saya mengisi masa dengan menghadiri majlis berbuka puasa seperti di Hotel Istana ini. "Saya juga buat promo untuk filem .... Dalam Botol arahan Khir Rahman.


"Saya juga akan muncul dengan single terbitan KRU dan akan fokus pada single ini apabila tidak terbabit dengan penggambaran."Selain itu, saya juga berdebar menanti tayangan filem lakonan saya iaitu Magika terbitan KRU Studios menjengah pawagam kelak," katanya.

Sambutan Aidilfitri tahun ini memberi pengertian tersendiri buat Diana yang meraikannya sebagai berdarah kacukan Melayu-Amerika.

"Sekalipun berdarah kacukan dan tinggal di Amerika Syarikat ketika masih kecil, mama tetap membesarkan saya dengan adat dan budaya Melayu.

"Ketika saya masih kecil, memang ada orang yang panggil saya anak Mat Salleh dan mereka juga bertanya sama ada saya tahu memakai baju kurung atau tidak?

"Sebenarnya, ramai yang tidak tahu, saya pernah tinggal dengan datuk di kampung dan dia membesarkan saya sebagai gadis Melayu," katanya.

Kata Diana yang kini hangat digosipkan bercinta dengan pelakon Farid Kamil, persiapan rayanya tahun ini juga sederhana dan tidak berlebihan.

"Saya membeli dua pasang baju kurung untuk digayakan pada lebaran tahun ini. Selalunya, saya dan mama beli baju kurung yang sudah siap.

"Mama juga sudah beli dua pasang baju raya untuk adik angkat, Halley Hayden. Begitu juga kuih raya, semuanya kami tempah saja. Antara kuih raya kegemaran saya ialah tat nanas dan semua kuih yang ada coklat," katanya.

Diana berkata, pada tahun ini, dia sekeluarga akan beraya di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan kedua.

"Saya dan mama akan beraya di rumah kawan-kawan kami di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung mama di Taiping, Perak.

"Bagaimanapun, sambutan raya di Taiping tidak semeriah dulu kerana datuk dan nenek sudahpun meninggal dunia.

"Seperti biasa, kami beraya dengan 10 adik beradik mama yang juga mak cik saya di sana. Juadah pagi raya kegemaran saya ialah rendang ayam, pulut dan sebagainya lagi," katanya.

Manakala, Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans pula berkata, selepas selesai penggambaran drama bersiri Cornetto Inikah Cinta, dia juga sibuk dengan program Skodeng artis dan menjadi pengacara program sebanyak 23 episod, Era TV untuk saluran Astro Ria.

"Program Skodeng artis adalah portal golongan artis dan setakat ini sudah ada beberapa artis yang menyertainya. Mereka juga boleh muat turun video klip mereka dalam program ini," katanya.

Bagaimanapun, Juliana yang masih mengikuti pengajian ijazah sarjana muda komunikasi massa di Kolej Universiti Sunway berkata, dia membataskan aktiviti seni kerana ingin memberi tumpuan pada ibadah puasa dan Tarawih.

"Maklumlah, saya sibuk bekerja sepanjang tahun. Contohnya, saya terbabit dengan penggambaran drama bersiri Sayang Cendana pada April lalu dan selepas itu banyak tawaran lain yang datang.

"Selain beribadah, saya juga suka pergi ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka," katanya.

Sepanjang empat tahun berlakon, Juliana yang pernah dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular (ABPBH) 2008 mengakui belum puas hati dengan prestasi lakonan sedia ada.

Juliana yang baru putus cinta dengan Sam Bunkface berkata, dia belum bersedia untuk mencari pengganti.

"Saya masih sayang Sam sebagai kawan kerana dia pernah buat hidup saya gembira. Kami berpisah kerana tidak sehaluan," katanya.

Beralih pada sambutan Aidilfitri pula, Juliana yang juga anak bongsu dari tiga beradik berkata, dia sudah menyesuaikan diri untuk beraya sebagai anak kacukan Melayu-Inggeris.

"Setiap tahun, kami sekeluarga beraya di kampung emak di Bagan Datuk, Perak. Saya memang dibesarkan dengan adat dan budaya Melayu sejak kecil. Jika nak diikutkan, abang saya wajahnya nampak lebih Mat Salleh daripada saya.

"Bapa saya memang berasal dari United Kingdom dan kami masih mempunyai ramai saudara mara di sana.

"Namun, setiap tahun memang kami beraya di sini. Kali terakhir saya ke United Kingdom ialah pada usia 13 tahun.

"Lebih meriah, sebelum ini, hanya saya dan keluarga yang pulang ke kampung, sebaliknya sekarang sudah ramai peminat saya yang datang beraya dengan kami di sana.

"Saya juga membeli baju raya pada saat akhir. Dari segi kuih raya kegemaran pula ialah kuih siput dan simpul kasih. Selain itu, juadah berat kegemaran saya pada pagi raya pula ialah lemang, rendang ayam, ketupat dan lontong," katanya.



>PROFIL Diana
NAMA SEBENAR: Diana Danielle Danny Beeson
TARIKH LAHIR: 22 November 1991
TEMPAT LAHIR: Houston, Amerika Syarikat
KETURUNAN: Melayu-Amerika
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak tunggal
KERJAYA: Model, pelakon dan penyanyi
DRAMA/TELEFILEM: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah
FILEM: Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia, Setem, Kecoh Betul, Magika, .... Dalam Botol dan Hanyut
LAGU: Radio (bersama Imran Ajmain, Ahmad Nabil dan Infinatez), Penyembuh Rindu (duet bersama Mawi).

>Profil Juliana
NAMA SEBENAR: Juliana Sophie Johari Evans
NAMA KOMERSIL: Juliana Evans
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
DARAH CAMPURAN: British (bapa) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Masih mengikuti pengajian ijazah sarjana muda komunikasi massa di Kolej Universiti Sunway
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
IKLAN KOMERSIAL: Canon (ketika berusia lapan bulan), Kentucky Fried Chicken (KFC), Fruitella, Nokia, Johnson & Johnson, Play Dough, Dutch Lady dan Clean & Clear
PROGRAM TV: Remaja (TV3)
DRAMA: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)
FILEM: Kami The Movies dan Hooperz

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: